Mahkamah bebaskan juvana

0

SEDIH: Peter Wong (kanan) bercakap sesuatu kepada Sebastian yang melawat keluarga mangsa di Mahkamah Tinggi Miri, semalam.

MIRI: Mahkamah Tinggi semalam melepaskan dan membebaskan seorang juvana lelaki daripada tuduhan membunuh rakan sekolahnya, Tiffany Wong, 17.

Keputusan itu dibuat Hakim Stephen Chung Hian Guan setelah mendapati pihak pendakwa gagal mengemukakan bukti kukuh yang boleh mensabitkan juvana terbabit dengan kesalahan yang didakwa.

Terdahulu, juvana terbabit, 17, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, juvana terbabit yang juga merupakan kawan mangsa sejak kecil telah melakukan pembunuhan sehingga menyebabkan kematian gadis malang itu yang mana mayatnya dijumpai di dalam sebuah parit kecil di Jalan Beraya Lama, Bakam di sini sekitar jam 1.30 petang, 25 Mac 2011.

Dalam pada itu, keputusan mahkamah tersebut bukan sahaja mengejutkan ahli keluarga Tiffany yang berada di pekarangan mahkamah sejak awal pagi semalam, malah seluruh warga Miri yang mengikuti perkembangan kes berkenaan sejak kejadian itu berlaku lebih setahun lalu.

Bapa mangsa, Peter Wong yang ditemui di luar mahkamah berkata: “Tiada maksud untuk berdendam. Apa yang kami mahukan adalah keadilan dan kami ingin tahu siapakah pembunuh anak kami.”

Dalam kejadian itu, Tiffany yang merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Joseph telah keluar rumah sekitar jam 11 pagi, 24 Mac 2011 bersama juvana terbabit untuk mengambil slip keputusan SPMnya yang tertinggal di dalam beg seorang kawan.

Sehingga petang, mangsa tidak pulang ke rumah menyebabkan bapanya membuat laporan polis berhubung kehilangan mangsa.

Sekitar jam 11 pagi, 25 Mac 2011, juvana terbabit dengan ditemani bapanya menyerah diri di Balai Polis Pusat Miri dan sekitar jam 1.30 petang hari sama, polis dengan dipandu arah juvana tersebut pergi ke sebuah kawasan terpencil di Jalan Beraya Lama untuk menunjukkan lokasi mayat mangsa yang ditemui dalam sebuah parit dengan keadaan kepalanya ditutup dengan sebuah plastik hitam.

Sementara itu, Datuk Sebastian Ting selaku Setiausaha Politik kepada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui turut dilihat melawat ahli keluarga mangsa di pekarangan Mahkamah Tinggi di sini semalam.