Saturday, May 25

Dua lelaki cedera ditembak

0

SIASAT: Anggota forensik daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak sedang menjalankan siasatan di tempat kejadian.

KUCHING: Dua lelaki cedera akibat kena tembakan senapang patah ketika bersarapan di sebuah kedai kopi di Green Height di sini pagi semalam.

Mangsa yang berusia 31 dan 69 tahun itu dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) selepas masing-masing terkena tembakan di bahagian kiri kepala dan seorang lagi mangsa terkena di tangan kiri dan di sebelah kiri perut.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Roslan Bek Ahmad berkata kedua-dua mangsa kini berada dalam keadaan stabil sambil menafikan spekulasi mengatakan kedua- duanya telah meninggal dunia.

Menurutnya,kedua-dua mangsa dikatakan duduk bersarapan di dua meja berasingan di kedai tersebut di mana mangsa yang berusia 31 tahun itu sedang bersama dengan tiga lagi rakannya sebelum insiden tersebut berlaku sekitar jam 11.05 pagi semalam.

“Siasatan awal mendapati satu das tembakan telah dilepaskan dipercayai menggunakan senjata ‘short gun’ dan disyaki disasarkan ke arah mangsa berusia 31 tahun itu dari jarak 18 meter yang kemudian turut terkena mangsa berusia 69 tahun itu yang berada 32 meter dari tempat suspek dipercayai melepaskan tembakan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media berhubung insiden tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching semalam.

Tambah Roslan, dua kenderaan yang diletakkan berhampiran tempat kejadian juga mengalami kerosakan akibat terkena tembakan.

“Beberapa kesan peluru turut ditemui di tempat kejadian dan siasatan kami mendapati kemungkinan motif kejadian adalah lebih kepada bersifat peribadi namun siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

Justeru, beliau menasihati warga Kuching agar tidak panik dengan insiden tersebut dan mengharapkan agar pihak yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tampil membantu siasatan.

Menurut beliau juga, sesiapa yang mempunyai maklumat berkenaan insiden tersebut diminta menghubungi Pegawai Penyiasa ASP Angela Ladi di talian 013-8072900 atau mana-mana balai polis berhampiran.

“Kita mahu orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian dapat bekerjasama dengan pihak polis dan kami akan pastikan identiti saksi dirahsiakan.

“Pihak polis juga meminta semua pihak agar tidak panik dan tidak membuat sebarang spekulasi berkenaan kejadian ini,” katanya.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 3, Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan Kerana Cubaan Membunuh.