Sunday, June 20

Arah trafik berisiko akan diubah

0

MIRI: Arah trafik sebahagian lorong berisiko di pusat komersil Pelita dan Boulevard akan diubah untuk mengurangkan kesesakan dan kemalangan pada waktu puncak.

Datuk Bandar Lawrence Lai berkata, projek akan dilaksanakan secepat mungkin bergantung kepada peruntukan Majlis Bandaraya Miri (MBM).

“Kita berharap untuk menyiapkan semua projek ini dalam tempoh dua bulan ini,” jelasnya kepada media semalam.

Antara lorong yang dikenal pasti berisiko ialah laluan masuk ke tempat letak kereta berhampiran pejabat Tabung Haji di pusat komersil Pelita dan laluan di hadapan bank Maybank dan laluan di hadapan kedai dobi Sogo dan Cafe New Sau Pau di Boulevard.

Lawrence berkata, laluan sehala di Sogo dan Sau Pau akan dijadikan laluan dua hala.

“Kita melihat saiz jalan ini besar dan boleh dijadikan sebagai jalan dua hala untuk memudahkan perjalanan pengguna yang melalui jalan ini,’ jelasnya.

Selain itu, MBM juga akan menambah lebih banyak tempat letak kereta di dua kawasan berkenaan sebagai kemudahan pengguna.

Sebanyak 25 lot tempat kereta akan dibuka di hadapan kedai MyStore Boulevard dan lapan lot baharu di belakang hotel Imperial Palace di pusat komersil Pelita.

“Kita juga akan memperbesarkan laluan di hadapan bank CIMB di Miri Waterfront untuk melicinkan perjalanan masuk pengguna ke kawasan berkenaan,” tambahnya.

MBM akan mengarah syarikat Telekom Miri untuk mengalihkan tiang pondok telefon terbiar di hadapan bank CIMB untuk membolehkan kerja-kerja pembesaran laluan di kawasan itu.

Lawrence berkata, keadaan tiang yang uzur dan wayar tiang telefon yang terbiar boleh membahayakan keselamatan pengguna.