Karier politik Wan Junaidi terus menjadi persoalan

0

SANTUBONG: Karier politik Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar terus menjadi persoalan dengan khabar angin terbaru menyatakan beliau tidak dicalonkan semula sebagai Ahli Parlimen Santubong namun ditawarkan jawatan Speaker Dewan Rakyat.

Beliau berkata, perkara tersebut hanya khabar angin sahaja kerana tiada sebarang kepastian secara rasmi sama ada daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak atau Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

“Tidak ada orang berkuasa (Perdana Menteri atau Ketua Menteri) memutuskan me-ngenai perkara ini, justeru saya menganggap ia merupakan khabar angin sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pembayaran Elaun Sara Hidup Secara Tunai dan Perasmian Baik Pulih Rumah Nelayan 2012 di sini, semalam.

Menurut Wan Junaidi, sebarang keputusan berhubung masa depan karier politiknya akan diterima dengan hati terbuka.

“Kalau benar tidak dicalonkan semula, saya tidak akan membuat sebarang aduan.

“Saya bersifat terbuka kerana sebagai ahli parti…sebarang keputusan akan diterima,” ujarnya.

Dalam pada itu, Wan Junai-di berharap pada masa akan datang Parlimen Santubong terus dijaga dengan baik.

“Kawasan ini masih memerlukan Barisan Nasional (BN) untuk merangka lebih banyak pembangunan,” jelasnya.

Beliau menjelaskan, sokongan yang masih diberikan pemimpin akar umbi kepadanya adalah secara ikhlas dan bukan dipengaruhi pihak tertentu.

“Mereka secara ikhlas masih menyokong saya,” kata Wan Junaidi.