Sunday, June 20

Pusat Keselamatan Makanan ditubuh tahun depan: Liow

0

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan akan menubuhkan Pusat Keselamatan Makanan yang dilengkapi peralatan makmal terkini di Salak Tinggi, Selangor tahun depan, bagi menjamin keselamatan dan kualiti makanan.

Menterinya Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata pusat itu yang diletak di bawah Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan akan memastikan produk makanan di Malaysia, khususnya makanan import dijamin selamat dan berkualiti.

“Kami menumpukan kajian bagi memastikan hanya makanan yang selamat dan berkualiti memasuki pasaran dan memudahkan penarikan semula sasaran secara berkesan jika berlaku pencemaran,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Keselamatan Makanan Antarabangsa di sini, semalam.

Selain itu, Liow berkata kementeriannya juga akan menubuhkan International Food Safety Training Laboratory (IFSTL) Malaysia yang menyediakan akses kepada latihan keselamatan dan kualiti makanan menerusi kerjasama Universiti Maryland, Amerika Syarikat.

Mengulas perkara itu pada sidang media kemudian, Liow berkata selain bertindak sebagai pusat kecemerlangan keselamatan makanan, IFSTL juga dapat mempromosikan eksport produk Malaysia yang selamat untuk pasaran global dan menonjolkan Malaysia sebagai hab keselamatan makanan di rantau ini.

“Dengan adanya kerjasama antarabangsa dengan pakar-pakar terkemuka di Universiti Maryland, adalah diharapkan kualiti dan keselamatan makanan akan terjamin dan mengurangkan kes-kes seperti susu tepung tiruan, telur tiruan diimport yang berlaku sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata penubuhan IFSTL dapat menjimatkan kos dalam proses kajian makanan kerana sebelum ini sampel makanan perlu dihantar ke Singapura dan Amerika Syarikat untuk dikaji.

Sementara itu, Liow yang juga Timbalan Presiden MCA berkata parti itu sentiasa memperjuangkan kehendak dan hak pengundi Cina di negara ini.

“Kami akan terus memperjuangkan hak dan menyampaikan hasrat serta pandangan masyarakat Cina sama ada melalui mesyuarat kabinet ataupun melalui alternatif lain.

“Saya berpendapat dengan gagasan 1 Malaysia yang diperjuangkan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) begitu berkesan, terutamanya dalam menyampaikan transformasi negara yang memanfaatkan semua rakyat tidak kira kaum dan agama,” katanya.

Beliau mengulas saranan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin agar parti komponen Barisan Nasional khususnya MCA dan MIC mengenal pasti kehendak pengundi bukan Melayu supaya tindakan lanjut dapat diambil. — Bernama

Persidangan dua hari anjuran bersama Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan serta Institut Teknologi Makanan Malaysia dengan kerjasama University of Maryland itu disertai kira-kira 200 peserta. — Bernama