Semua isu dimainkan pembangkang tidak relevan

4

MIRI: Semua isu yang dimainkan oleh parti pembangkang ketika ini adalah tidak relevan sebaliknya isu-isu yang timbul disebabkan parti politik itu ketandusan idea atau terdesak untuk sokongan rakyat.

Ahli Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang berkata semua isu kebajikan atau keperluan rakyat seperti jalan raya, kemudahan bekalan air dan elektrik sahaja yang sering ditimbul parti politik terbabit.

“Bagi kawasan saya, semua isu terbabit sudah diselesaikan dan kerajaan masih lagi meneruskan kesinambungan pembangunan khasnya di kawasan yang belum menerima kemajuan,” katanya kepada pemberita baru-baru ini.

Beliau menjelaskan, rakyat perlu bersabar kerana kerajaan tidak pernah mengabaikan kebajikan mereka sebaliknya semua keperluan mereka tetap ditunaikan.

“Sebagai contoh, sekiranya rakyat berdepan masalah air bersih, kerajaan menyediakan tangki air bagi memudahkan mereka menakung air hujan manakala projek menyalurkan air paip masih dalam pelaksanaan,” jelasnya.

Tambahnya, setiap isu yang cuba dibangkitkan oleh parti politik pembangkang itu tidak relevan kerana ia hanya satu taktik mereka mengalih perhatian rakyat ketika kerajaan menunaikan janji.

“Saya menasihati semua penduduk setempat khasnya di rumah panjang dan kampung-kampung supaya menjauhkan diri daripada hasutan anasir luar yang cuba mendapatkan sokongan mereka,” jelasnya.

Menurutnya rakyat perlu sedar bahawa semua kemajuan dan pembangunan yang dinikmati rakyat hari ini adalah hasil usaha gigih kerajaan Barisan Nasional dalam membela nasib mereka.

“Pembangkang hanya tahu mengkritik tetapi mereka tidak bekerja untuk membela nasib rakyat berbanding kita (keraja-an) bukan hanya melempar janji tetapi berusaha menunaikan janji,” katanya.