Sunday, June 20

DSS boleh digunakan sebagai persediaan hadapi banjir: Dawos

0

KUCHING: Sistem Sokongan Keputusan (DSS) boleh diguna pakai secara lebih praktikal sebagai persediaan untuk menghadapi bencana banjir di negara ini.

Timbalan Menteri Pelancongan Datuk James Dawos Mamit berkata, menerusi sistem itu, pelbagai maklumat mengenai isu dan karakter berkaitan sumber air dapat dikenal pasti lebih awal.

Menurutnya, ini kerana sistem berkenaan akan menyediakan keputusan terbaik dan munasabah kepada pembuat keputusan dalam menguruskan sungai.

Justeru katanya, pembuat keputusan harus mempertimbangkan untuk mengadaptasi penggunaan sistem berkenaan.

“Kerajaan boleh mengguna pakai sistem ini agar punca banjir dapat dikenal pasti lebih awal.

“Sekarang negara kita mengalami 30 peratus hujan melebihi tahun 60-an menyebabkan berlakunya banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Simposium Rimba 3 ‘Mengekalkan Kehidupan Menerusi Pengurusan dan Pengunaan Sumber Asli Secara Berhemat’ di Permai Ranforest di sini, semalam.

Menurutnya, sistem tersebut merupakan alat yang perlu diberi perhatian untuk memastikan isu alam sekitar terutama berkaitan air dapat dikenal pasti.

“Kekurangan sistem maklumat menyebabkan kesukaran untuk mengenal pasti punca berlaku sebarang masalah air,” ujarnya.

Mengulas mengenai simposium tersebut, Dawos memberitahu, ia merupakan simposium terbaik untuk membolehkan penyelidikan dibuat berkaitan sumber alam semula jadi.

“Ini adalah simposium yang saya rasa perlu diteruskan pada masa akan datang kerana banyak idea terbaru diketengahkan.

“Ia secara tidak langsung akan menjadi ilmu pengetahuan terbaru untuk menyelesaikan masalah terutama berkaitan alam semula jadi,” jelasnya.