Pelantikan guru program pensiswazahan disegera

0

BUKIT MERTAJAM: Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi berkata urusan pelantikan seramai 7,975 orang guru lulusan program pensis-wazahan guru, akan dilakukan secepat mungkin.

Beliau berkata, pada 23 Mei lepas Kementerian Pelajaran menerima waran untuk kenaik-an pangkat ke DG41 bagi Pegawai Perkhidmatan Lepasan Diploma (PPLD) yang berjaya menamatkan pengajian di bawah program pensiswazahan guru.

“Penangguhan selama dua tahun untuk pelantikan itu telah menjadi satu daripada sebab ramai guru tidak mahu meng-ikuti program pensiswazahan. Pihak kementerian akan usahakan agar perkara ini diselesaikan secepat mungkin.

“Diharapkan ramai lagi guru akan mengikuti program pensiswazahan guru ini. Ia  penting untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan guru di samping  memartabatkan profesion perguruan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penganugerahan Perkhidmatan Cemerlang 2012 Jabatan Pelajaran Negeri Pulau Pinang di sini semalam.

Mohd Puad berkata kerajaan menjangkakan pada tahun 2020 semua guru di seluruh negara  mempunyai ijazah. Sejak di-perkenal pada 2006 hingga kini, seramai 70,062 guru mengikuti dan berjaya menamatkan program pensiswazahan guru. — Bernama