S’wak masih di hati

1

KUCHING: Ketua jurulatih Robert Alberts menegaskan desas-desus mengenai perpindahannya untuk melatih kelab di Indonesia adalah tidak benar sama sekali.

Menurutnya, beliau masih berminat untuk mengendali dan membawa Sarawak kembali ke Liga Super jika kontraknya yang tamat pada November ini disambung semula.

“Hati saya masih di sini dan saya berjanji akan membawa Sarawak kembali ke Liga Super,” jelasnya ketika dihubungi oleh Utusan Borneo semalam.

Berita mengenai perpindahan Alberts ke kelab Indonesia Persib Bandung, semakin hangat diperkatakan di laman web setelah ejennya Jules Onana mengesyorkan nama Alberts kepada kelab tersebut.

Namun, menurut Alberts, beliau tidak pernah menghubungi atau dihubungi oleh mana-mana pihak berkenaan perkara tersebut kerana masih terikat kontrak dengan Sarawak hingga November ini.

“Saya tidak tahu menahu mengenai perkara ini kerana ia diurus oleh ejen saya Jules (Onana),” jelasnya lagi.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) Datu Sudarsono Osman tidak dapat dihubungi bagi mendapatkan kepastian mengenai hal tersebut.

Alberts mula menjadi pengurus dan jurulatih Sarawak sejak 4 April, 2011 setelah mengambil alih dari Mohd Zaki Shaikh Ahmad.