1,000 golongan sasar terima duit raya daripada Yayasan 1MDB

0

IKHLAS: Zairi Mohd menerima bantuan untuk anak perempuannya daripada Daud (dua kanan) sambil disaksikan oleh Zahari (kanan), Ahmad Lai dan Ting pada Majlis Ihsan Ramadan dan Aidilfitri 1MDB di masjid At Taqwa, Miri semalam.

MIRI: Seramai 1,000 golongan sasar di kawasan Parlimen Miri menerima sumbangan Hari Raya daripada Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada Majlis Ihsan Ramadan dan Aidilfitri di masjid At Taqwa di sini semalam.

Sumbangan melibatkan jumlah sebanyak RM160,000 dengan setiap penerima mendapat bantuan RM100 hingga RM200.

Penerima terdiri daripada warga emas, ibu tunggal, fakir miskin, anak yatim dan orang kurang upaya (OKU) dari sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Piasau, Pujut dan Senadin.

Sumbangan disampaikan oleh Menteri Muda di pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman.

Dalam ucapannya beliau berkata, sumbangan menunjukkan keprihatinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan kerajaan pusat terhadap nasib golongan memerlukan di seluruh negara.

Menurutnya, selain Miri, sumbangan juga akan diedarkan kepada golongan sasar di kawasan Parlimen Sibuti yang merangkumi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lambir dan DUN Bekenu.

“Sumbangan hari ini menunjukkan keikhlasan kerajaan Barisan Nasional membantu rakyat yang susah dan tanda keprihatinan kerajaan terhadap masalah yang dihadapi rakyat,” jelasnya.

Beliau menambah, sumbangan akan diserahkan sendiri kepada penerima tanpa melibatkan orang tengah atau orang ketiga.

Sementara itu, Ketua Perhubungan Awam dan Media Yayasan 1MDB Datuk Zahari Sulaiman berharap sumbangan akan menceriakan lagi sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal diraikan bulan depan.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang dan Setiausaha Politik Ahli Parlimen Miri Datuk Sebastian Ting.