Budaya membaca perlu dipupuk di kalangan kanak-kanak

0

SIBU: Budaya membaca perlu dipupuk di kalangan kanak-kanak dalam usaha melahirkan generasi muda berpengetahuan dan berkaliber sebagai pemimpin masa depan negara.

Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Daniel Ngieng Kiong Ann berkata, ibu bapa perlu menjadi teladan terbaik kepada anak-anak agar gemar membaca.

“Membaca membantu anak-anak kita menguasai sesuatu bahasa, menambah ilmu pengetahuan serta peka akan isu-isu semasa,” jelasnya pada Projek Learn English Family (LEF) di Pusat Agape, petang kelmarin.

Projek yang mempromosikan nilai-nilai membaca antara golongan ibu bapa dengan anak-anak, dijalankan British Council secara bersiri dengan enam bengkel.

Tambah beliau, tabiat membaca pelbagai bahan bacaan perlu diperakui dengan prasyarat utama iaitu, untuk pembelajaran sepanjang hayat tanpa mengira usia.

“Pembelajaran sepanjang hayat menggambarkan suatu sifat yang sangat dituntut dalam persekitaran yang sering berubah-ubah.

“Ilmu pengetahuan, kemahiran teknologi, cara bekerja turut berubah seiring dengan perubahan zaman,” ujarnya.

Katanya beliau dan isterinya telah memupuk budaya membaca di kalangan dua anak mereka sejak usia kecil dengan selalu membawa mereka ke perpustakaan awam.

“Ini sebagai pendedahan awal kepada mereka untuk memupuk minat membaca tanpa paksaan.

“Kami turut menyediakan ruangan khas perpustakaan keluarga dengan membeli bahan bacaan dan dijadikan koleksi seisi keluarga,” jelas Ngieng.

Sehubungan itu, Ngieng menyeru golongan ibu bapa agar menyokong usaha British Council dengan kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia terhadap projek LEF dalam usaha melahirkan golongan generasi muda yang berjaya dalam pelbagai aspek kehidupan.

Hadir sama Penyelaras Projek LEF Grace Ormsby-Boon.