Galak kanak-kanak merokok?

2

PENGARUH NEGATIF: Antara Smoke Candy yang diletakkan bersama produk makanan kanak-kanak yang lain. (Gambar sisip) Antara Smoke Candy yang mirip rokok sebenar.

SIBU: Ketika Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sibuk berkempen untuk mengurangkan jumlah penghisap rokok di negara ini, ada pula sesetengah pihak yang cuba menggalakkan aktiviti yang kurang sihat ini di peringkat kanak-kanak.

Tinjauan Utusan Borneo ke beberapa kedai runcit dan kedai serbaneka di sini semalam mendapati hampir kesemua premis yang dilawati ada menjual Smoke Candy atau gula-gula rokok untuk kanak-kanak.

Gula-gula yang dijenamakan dengan jenama-jenama rokok yang terkenal seperti Marlboro, Kent, Camel dan rokok 888 ini disusun bersama-sama produk makanan lain untuk kanak-kanak.

Untuk menarik minat orang membeli gula-gula ini, Smoke Candy ini dibungkus menyerupai corak dan reka bentuk rokok sebenar yang berada di pasaran.

Dimuatkan lima batang ‘rokok’ dengan harga serendah 30 sen setiap kotak memang tidak mustahil untuk gula-gula jenis ini menjadi kegilaan golongan kanak-kanak yang mahu berketerampilan seperti orang dewasa.

Lebih membimbangkan keadaan, Smoke Candy dan beberapa lagi gula-gula berjenama terkenal yang dipercayai diimport dari negara China tidak mempunyai sebarang label nutrisi termasuk kelulusan daripada mana-mana pertubuhan berdaftar di Malaysia.

Status halalnya pun turut sama diragui kerana tidak memaparkan logo halal dari negara pembuat apatah lagi logo halal Jabatan Kebajikan Islam Malaysia (JAKIM).

Keadaan ini akan mewujudkan dilema kepada pengguna-pengguna Islam yang sangat menitikberatkan aspek kebersihan dan kesucian dalam penyediaan makanan.

Seorang pekedai yang menjual Smoke Candy yang mahu dikenali sebagai Chiew mengakui produk terbabit memang buatan China dan beliau menyatakan menerima gula-gula daripada pembekal tempatan.

“Pembekal akan menghantar barang-barang ke kedai saya dalam kuantiti yang banyak termasuk gula-gula ini dan kebanyakan barangan yang dihantar adalah dibuat di China,” katanya apabila ditanya Utusan Borneo.

Katanya fenomena ini berikutan harga barangan dari China yang sangat rendah berbanding produk tempatan selain boleh memberi keuntungan berlipat kali ganda kepada pembekal dan peniaga.

Di samping itu, Chiew yang sudah 12 tahun membuka kedainya turut mendedahkan bahawa Smoke Candy mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelanggannya terutama golongan kanak-kanak.

Menyentuh mengenai keraguan halal pada Smoke Candy, Chiew memberitahu:“Pada pendapat saya, hari ini hampir 80 peratus produk halal di Malaysia adalah buatan China, kita tidak dapat lari daripada hakikat itu,” tambahnya.

Sementara itu, seorang pengguna, Hidayati Mansor, 25, ketika ditemui memberitahu Smoke Candy sudah ada di pasaran sejak sekian lama.

“Sewaktu saya bersekolah dulu di kampung saya, memang banyak jual Smoke Candy dengan jenama seperti Dunhill, Marlboro dan Rave,” kata Hidayati yang berasal dari pekan Bintangor.

Menurutnya, kanak-kanak terutama pelajar-pelajar sekolah sewaktu dia bersekolah dulu memang gemar membeli produk tersebut disebabkan ingin mengajuk tabiat orang dewasa yang menghisap rokok.

“Mula-mula memanglah untuk berseronok, akhirnya kanak-kanak akan cuba pula rokok yang sebenar,” luahnya.