Saturday, June 19

Bersabarlah tunggu pembangunan infrastruktur

0

Projek mega di Santubong perlukan masa untuk diselesaikan, bergantung kepada agensi pelaksana

KUCHING: Rakyat di konstituensi Santubong dinasihatkan agar bersabar untuk menunggu pembangunan infrastruktur yang akan dilaksanakan di kawasan masing-masing.

Ahli Parlimennya Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pelaksanaan terutamanya yang melibatkan projek-projek mega akan memerlukan sedikit masa untuk diselesaikan dan bergantung kepada agensi pelaksana.

“Kerajaan telah menye-naraikan semua pembangunan kepada rakyat tetapi kita berharap anda memberi sedikit masa bagi menyelesaikan pelaksanaannya,” katanya berucap pada Majlis Berbuka Puasa bersama penduduk Kampung Muara Tebas yang dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri Demak Laut Dr Hazland Hipni di sini, malam kelmarin.

Wan Junaidi yang juga Timbalan Spekear Dewan Rakyat memberi contoh misalnya projek benteng yang sedang dilaksanakan akan memerlukan sedikit masa untuk disiapkan dan yakin ia mampu disiapkan menjelang akhir tahun ini.

“Secara keseluruhannya, saya melihat jabatan kerajaan terutamanya Jabatan Kerja Raya (JKR) telah mencapai kecemerlangan dalam sebahagian daripada projek mereka untuk menyelenggara dan menaik taraf infrastruktur asas,” katanya.

Tambah beliau, lebih ba-nyak pembangunan seperti bekalan air bersih akan dibawa masuk ke kampung-kampung konstituensi berkenaan khasnya mereka yang belum mendapat kemudahan itu.

“Di kawasan Parlimen Santubong terdapat kawasan pinggir bandar dan kampung luar bandar maka adalah menjadi harapan saya menyaksi-kan rakyat ini menerima bekalan air bersih serta kemudahan asas lain.

“Saya akan mengadakan pertemuan dan membincangkan ini dengan ADUN di kawasan masing-masing,” tegas beliau.

Dalam perkembangan lain, Wan Junaidi berkata projek jalan raya yang menghubungkan Samarahan ke Kampung Tanjong Bako dijangka akan siap dalam tempoh tahun hadapan.

Pada majlis yang sama beliau menyerahkan duit raya kepada 170 penerima termasuk warga emas, anak yatim dan orang kurang upaya terdiri daripada sembilan kampung di kawasan Demak Laut berjumlah RM8,500.

Peruntukan sebanyak RM20,000 turut diberikan kepada jawatankuasa Kampung Muara Tebas bagi kerja-kerja menaik taraf perparitan kampung dan masing-masing RM5,000 kepada Persatuan Anak Nelayan Muara Tebas dan Persatuan Wanita Muara Tebas.