Dua pelajar maut kemalangan

0

LAHAD DATU: Dua pelajar lelaki maut, manakala seorang lagi mengalami cedera ringan setelah motosikal yang mereka naiki terlibat dalam satu kemalangan jalan raya membabitkan empat kenderaan di Jalan Kampung Jawa, di sini, kira-kira jam 7.40 malam Isnin lalu.

Pelajar pertama yang maut dikenali Sharif Wahyuni, 16, meninggal di Hospital Daerah Lahad Datu (HDLD) pada malam kejadian, kira-kira jam 12.15 tengah malam akibat kecederaan parah pada badan.

Manakala mangsa kedua, Muhammad Shafie Salidi,14, meninggal kelmarin di Hospital Sandakan, kira-kira jam 11 pagi akibat patah tulang belakang dan cedera parah di bahagian kepala. Sementara seorang lagi pelajar, berusia 16 tahun, hanya mengalami cedera ringan luka di bahagian siku dan lutut.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Supritendan Shamsudin Mat, berkata siasatan awal pihaknya mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu sebuah kenderaan Toyota Corona yang datang dari arah Jalan Dam ingin membelok ke kawasan rumahnya di Kampung Jawa, tiba-tiba dilanggar motosikal dari bahagian belakang.

Ia menyebabkan salah seorang daripada penunggang motosikal itu mendapat kecederaan parah di bahagian kepala dan patah tulang belakang sebelum dikejarkan ke Hospital Lahad Datu dan dan dipindahkan ke Hospital Sandakan sejurus kemudian.

Shamsudin berkata, selepas motosikal yang ditunggang itu melanggar bahagian belakang kereta, sebuah lagi motosikal dari arah sama gagal dikawal, lalu melanggar motosikal pertama itu hingga menyebabkan motosikal yang ditunggang itu terhumban ke lorong sebelah jalan, lalu dirempuh sebuah lori yang datang dari arah bertentangan.

Katanya, kesemua penunggang dan pembonceng motosikal tidak memakai topi keledar keselamatan ketika kemalangan berlaku. Kes kini sedang disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.