Sunday, August 1

JPAM lancar Ops Bantu sempena Aidilfitri

0

KOTA KINABALU: Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) akan melancarkan Operasi Bantu bermula 16 hingga 26 Ogos ini dengan melibatkan lapan daerah di negeri Sabah.

Pengarah Pertahanan Awam Negeri Sabah, Lt Kol (PA) Mulliadi Al-Hamdi Ladin berkata operasi berkenaan dilancarkan bagi membantu orang ramai terutama apabila berlaku kemalangan semasa Aidilfitri ini.

Menurutnya, Ops Bantu yang masuk edisi kelima itu (OPS Bantu V) akan melibatkan lapan pejabat JPAM dengan 10 laluan jalan raya Persekutuan dan jalan Negeri yang telah dikenalpasti oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Sepuluh laluan utama yang dikenalpasti adalah Kilometer 9-15, Jalan Tuaran Bypass, Kilometer 8-20, Jalan KK-Papar, Kilometer 1-44, Jalan Tuaran-Kota Belud, KM 1-21, Jalan Beaufort-Papar, Kilometer 2-9, Jalan Keningau-Tambunan, KM 4-50, Jalan Tawau-Semporna, Kilometer 10-32, Jalan Lahad Datu-Tawau, Kilometer 79-132, Jalan Kinabatangan-Lahad Datu, Kilometer 1-7, Jalan Kota Marudu-Pitas, Jalan Kota Marudu-Kudat.

Mulliadi berkata, Ops Bantu V adalah sama seperti operasi sebelumnya iaitu membuat rondaan di jalan-jalan tertentu yang telah dikenalpasti berisiko dan memberikan bantuan kecemasan kepada para pengguna yang menghadapi masalah.

“Ianya sama seperti perlaksanaan Ops Bantu IV Tahun Baru Cina pada tahun ini dan juga Ops Bantu III Hari Raya Aidilfitri pada tahun lepas.

“OPS Bantu V akan dijalankan selama 16 jam membabitkan dua syif iaitu 8 pagi hingga 12 malam yang akan bermula pada 16 Ogos ini dan akan berakhir pada 26 Ogos 2012.

“Walau bagaimanapun pada 19 hingga 23 Ogos, OPS Bantu V akan berehat seketika untuk memberikan peluang kepada para anggota dan pegawai menyambut perayaan Aidilfitri bersama keluarga masing-masing,” katanya.

Mulliadi berkata, sebarang pertanyaan atau sekiranya menghadapi kecemasan boleh menghubungi talian Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) JPAM di seluruh negeri Sabah. Antaranya PKOD Kota Kinabalu (088-232433), PKOD Beaufort (087-221952), PKOD Tawau (089-749046), PKOD Sandakan (089-672586) dan PKOD Lahad Datu (089-880991).

“Manakala untuk daerah Keningau, Kota Marudu dan Pitas, para pengguna jalan raya yang menghadapi sebarang masalah mahupun kecemasan diminta untuk menghubungi PKOD Kota Kinabalu ataupun 999,” katanya.