SPR badan berintegriti

0

Kemuka secara terus kemusykilan, usah guna pihak ketiga atau media

KECOH: Sesi soal jawab agak tegang apabila Dr Teo (kanan) tidak berpuas hati dengan kenyataan Abdul Karim (dua kiri).

KUCHING: Parti politik di Sara-wak diseru untuk berhubung secara terus dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sekiranya mempunyai sebarang kemusykilan berhubung daftar pemilih.

Menurut Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, tindakan menggunakan pihak ketiga atau media untuk mengemukakan sesuatu isu atau pertanyaan seolah-olah mempersoal dan memperlekehkan integriti SPR.

“Saya benar-benar berharap agar parti politik di Sarawak berhubung terus dengan SPR jika mempunyai sebarang keraguan, dan kita akan cuba jelaskan atau jika anda mem-punyai fakta atau bukti jelas berhubung sesuatu perkara, kita boleh siasat dengan agensi lain.

“Bukan bermaksud SPR tidak sanggup terima kritikan, tetapi kena berlaku adil kerana sama ada ia dilakukan sengaja atau tidak sengaja, ia menampakkan integriti SPR dipersoalkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada perjumpaan bersama parti politik dan media bagi memberi taklimat per-aturan-peraturan baharu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang di sini, semalam.

Sesi soal jawab selepas sesi taklimat semalam sedikit kecoh setelah Menteri Muda Perumahan Abdul Karim Rahman Hamzah menegur seorang calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) berpotensi, Dr Michael Teo yang mempersoalkan integriti dan kejujuran SPR dalam membawa kotak undi di kawasan pedalaman.

Daftar pemilih SPR setakat 7 Jun menyaksikan Sarawak berada di tangga keempat pengundi teramai dengan jumlah pemilih seramai 1,051,190. Daripada jumlah tersebut, dianggarkan 300,000 penduduk belum mendaftar.

Abdul Aziz berkata, mengikut kajian yang dijalankan di Seme- nanjung Malaysia, sebahagian besar penduduk tidak berdaftar adalah dari kawasan bandar tetapi beliau percaya situasi tersebut berbeza di Sarawak.

Menurutnya, antara penyumbang kepada jumlah penduduk tidak berdaftar ialah sikap endah tidak endah serta memandang ringan tanggungjawab tersebut.

Katanya, SPR telah meminta kerjasama pelbagai agensi, pertubuhan bukan kerajaan termasuk parti politik untuk membantu mendaftar pemilih, khasnya penduduk di kawa-san pedalaman.

“Masalahnya, mereka tidak mahu mendaftar, walaupun kita pergi ke kawasan kampung untuk membantu mereka,” katanya.

Sementara itu, menurutnya, SPR tidak akan berkompromi dengan mana-mana calon atau parti yang gagal mempamerkan nama dan alamat pencetak.

Beliau memberitahu, sesiapa yang tidak mematuhi peraturan boleh dikenakan tindakan tegas, termasuk tindakan mahkamah yang merangkumi denda atau penjara, seperti yang termaktub dalam Sub Seksyen 11(1)(C) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Beliau turut mengaskan SPR berhak menurunkan sesebuah bahan kempen yang digantung.

“Kita tidak pilihan lain melainkan lebih tegas memandangkan ramai wakil rakyat membantah cadangan meminda peraturan tersebut,” katanya.

Antara barang kempen ialah risalah, brosur, bendera, panji-panji, sepanduk/kain rentang, poster, surat sebaran, papan iklan sementara, lencana, label dan lain-lain.

Abdul Aziz menjelaskan, SPR pernah mencadang untuk meminda peraturan tersebut memandangkan ia sukar untuk dikuatkuasakan tetapi ketika dibincangkan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara, ia menerima bantahan.

Jelasnya, salah satu punca menyukarkan ia dikuat kuasa kerana bahan tersebut mungkin dicetak di luar negara.

Bagaimanapun, dengan adanya maklumat pencetak disertakan sekali pada bahan kempen, katanya, ia akan memudahkan proses pemeriksaan sekiranya disyaki melibatkan unsur rasuah.

“Ia akan memudahkan SPR atau pihak polis memeriksa dengan pencetak siapa yang bayar bil dan sebagainya,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar berkata, SPR akan melantik sembilan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Sarawak sebagai pemerhati tempatan pada PRU13 bagi menggantikan Badan Bebas Pemantau Pilihan Raya Malaysia (MAFREL).
Wan Ahmad menjelaskan, NGO tersebut iaitu tiga di Kuching, dua di Sibu dan empat di Miri, akan menempatkan dua wakil di setiap 31 buah kerusi Parlimen seluruh negeri.

“SPR akan melantik sembilan NGO tempatan mewakili semua kaum di Sarawak untuk menjadi pemerhati bebas dan berkecuali pada PRU-13.

“Mereka hendaklah neutral dan tidak boleh terlibat dalam kempen,” katanya.

Abdul Aziz menambah, MAFREL tidak lagi dipilih sebagai pemerhati berdasarkan rekod buruk pada bebarapa pilihan raya lepas.

“Pilihan raya yang lepas, SPR mempunyai pengalaman pahit dengan mereka kerana telah banyak melangar syarat antaranya membuat kenyataan ke sana ke sini, tidak menyiapkan laporan dan berat sebelah.

“Pemerhati SPR hendaklah neutral dan tidak berpihak kepada sesiapa,” katanya.