Perluas program Jualan Terus Dari Kilang: Yahaya

0

KUCHING: Penganjuran program Jom Beli Barang Raya (Jualan Terus Dari Kilang) perlu diperluaskan ke kawasan lain di negeri ini terutamanya di luar bandar untuk memberi nilai tambah pendapatan kepada penduduknya.

Setiausaha Persekutuan Sarawak Datuk Md Yahaya Basimin berkata, ia selaras dengan pelancaran Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) sekali gus menghapuskan kemiskinan tegar.

Bercakap pada pelancaran Program Jom Beli Barang Raya (Jualan Terus Dari Kilang) anjuran Kementerian Perdagang-an Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah dilancarkan di Pusat Beli-belah Boulevard di sini sema-lam, Yahaya berkata kerajaan sememangnya mahu melihat program sedemikian diperluaskan ke kawasan luar bandar.

“Ini seterusnya merealisasi-kan hasrat kerajaan untuk menghapuskan kemiskinan serta mengurangkan kadar kemis-kinan secara total,” katanya.

Beliau menambah, objektif utama penganjuran program itu adalah untuk membantu ma-syarakat pengguna mendapat-kan barangan keperluan di musim perayaan pada harga murah dan berpatutan.

Dari sudut lain, katanya, program itu mempergiatkan lagi aktiviti perniagaan dalam negara dan merangsang pertumbuhan ekonomi domestik.

“Ini bagi memastikan eko-nomi negara terus berada pada landasan yang kukuh dan mampu mengekalkan momentum pertumbuhan yang diharapkan,” katanya.

Yahaya menjelaskan program sedemikian banyak memberi faedah dan manfaat terutama kepada usahawan-usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Bumiputera yang ingin memperluaskan perniagaan mereka.

Malahan, katanya, KPDNKK juga bercadang untuk memperluaskan program jualan itu pada perayaan Krismas, Tahun Baharu Cina, Hari Gawai Dayak, Hari Deepavali dan perayaan lain.

Sementara itu, Pengarah Pejabat KPDNKK Sarawak Wan Ahmad Uzir Wan Sulai-man pada sidang medianya berkata, program yang dianjurkan dari 3 hingga 16 Ogos ini mendapat penyertaan lebih 50 buah syarikat swasta dan IKS di negeri ini.

Beliau berkata, pihaknya me-nyasarkan sekurang-kurang-nya 500 pengunjung dalam masa sehari sepanjang program diadakan.

“Bagaimanapun kalau ia mendapat sambutan memberangsangkan baik dari syarikat atau pengunjung dan ada permintaan, kita mungkin akan melanjutkan tempoh program ini,” katanya.