Wong Judat wajar tarik balik hasrat cabar Salang: Masing

3

KUCHING: Wong Judat dari Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) wajar menarik balik hasrat bertanding di Parlimen Julau sejajar dengan pendiriannya tidak menerus-kan hasrat untuk keluar parti meskipun sebelum ini beliau mengumumkan akan berbuat demikian.

Presiden Parti Rakyat Sara-wak (PRS) Tan Sri Dr James Masing berkata, Majlis Ter-tinggi PRS memandang serius pendirian yang diulangi oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan itu mene-rusi akhbar baru-baru ini.

“Dia (Wong) keluar masuk SPDP itu bukan hal kita (PRS), tetapi dia masih mahu menentang (Ahli Parlimen Julau Datuk Joseph) Salang di Julau, itu kita ambil serius,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Tertinggi PRS di sini, semalam.

Wong sebelum ini berulang kali menyatakan pendirian ingin menentang Salang atas alasan penyandang kerusi ter-babit gagal membawa pembangunan di kawasan Parlimen berkenaan yang turut merangkumi DUN Meluan.

Susulan itu, beliau dilaporkan akan keluar dari SPDP untuk menentang Salang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) kelak.

Masing yang juga Menteri Kemajuan Tanah berkata, susulan pendirian kekal Wong itu, beliau akan berbincang dengan pemimpin Barisan Nasional (BN) di peringkat negeri dan pusat.

Pertembungan antara dua calon BN dalam pilihan raya adalah sesuatu yang mustahil, katanya.

“Kesan buruk tidak membabitkan Salang sangat, tetapi ia akan membabitkan prinsip BN secara keseluruhan (ke-rana gagal mencapai kerja-sama antara parti komponen),” katanya.

Beliau turut menolak syor yang diusulkan pihak ter- tentu agar PRS dan SPDP bertukar kerusi Parlimen sebagai satu cara penyelesaian ke- melut itu.

“Kami tidak berminat dalam pertukaran kerusi dan tidak mahu dengar cadangan pihak luar,” tegas beliau.

Mengenai senarai calon berpotensi daripada PRS, Masing yakin nama-nama tersebut akan dipersetujui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
”Kita telah mengemukakan senarai bakal calon dan keputusan terletak di tangan PM,” katanya.

Mengulas mengenai Ahli Parlimen Hulu Rajang Datuk Billy Abit Joo yang dikatakan masih berharap untuk dicalonkan semula, Masing berkata beliau telah membuat keputusan untuk menggantikan beliau dengan calon baharu Wilson Ugak Kumbong.

Harapan itu digambarkan dengan menghadiri dan merasmikan majlis-majlis di kawasannya.

Bagaimanapun, Masing berkata, Billy masih merupakan wakil rakyat selagi Dewan Rakyat belum dibubarkan.

“Dia bergerak atas kapasiti sebagai Ahli Parlimen Hulu Rajang, dia melakukan tugasnya,” katanya.