Saturday, June 19

Kenyataan Tun Dr Mahathir tidak berasas

4

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan menyifatkan kenyataan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai pendatang tanpa izin (PTI) yang sudah lama menetap di negeri Sabah layak menjadi warganegara sebagai sesuatu yang tidak berlandaskan undang-undang.

Beliau berkata, alasan yang mengatakan bahawa mereka (PTI) sudah lama di sini dan mereka boleh dijadikan sebagai warganegara ini perlu berlandaskan undang-undang.

“Banyak yang kita tahu bahawa satu daripada sebab wujudnya RCI (Suruhanjaya Siasatan Diraja) ini ialah kerana ada tindakan-tindakan yang di luar undang-undang dan ini yang menyebabkan ada antara pendatang asing menjadi warganegara dan pengundi dan terdaftar di dalam buku daftar. Inilah isu-isunya dan bukan kerana mereka dikatakan sudah lama di sini.

Menurut Pairin, PTI tidak ada hak untuk menuntut hak kewarganegaraan kerana mereka tidak mempunyai dokumen yang sah.

“Orang-orang yang ada dokumen, yang ada pas kerja dan yang datang secara sah ini, bila mereka sudah lama di sini (Malaysia), itu ada asasnya mereka boleh memohon sebagai warganegara.

“Tetapi untuk PTI, mereka ini tiada dokumen dan tiada hak untuk menuntut sebagai warganegara kerana tiada asas. Mereka perlu diputihkan terlebih dahulu dan itu sebanya ada program pemutihan.

“Tapi kalau bulat-bulat mengatakan PTI setelah dia berada di sini sekian lama boleh dijadikan warganegara itu bertentangan dengan undang-undang kita.,” katanya kepada pemberita selepas menyumbangkan 500 paket kuih raya kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kepayan.

Pairin berkata, pemimpin veteran itu tidak perlu lagi bercakap pasal perkara itu kerana sudah sedia maklum mengapa perkara itu berlaku dan mengapa pendatang tanpa izin boleh masuk ke negeri Sabah.

“Dalam 22 tahun beliau memerintah, usaha untuk membanteras memang tidak mencukupi. Kalau kita mahu mengatakan benar-benar, persepsi rakyat di negeri Sabah ini ialah bahawa beliau tidak mahu menutup jalan orang-orang yang tiada dokumen ini masuk ke negeri Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Dr Mahathir, yang antara lain mempertahankan peningkatan bilangan pendatang di Sabah dan golongan itu layak diterima sebagai warganegara kerana telah berdekad tinggal di Malaysia dan boleh bertutur dalam bahasa Melayu.