Lampu isyarat rosak sejak 7 Ogos sukarkan pengguna jalan di Sarikei

0

ROSAK: Begini keadaan lalu lintas yang berlaku di lampu isyarat terbabit, yang jelas kelihatan kelam-kabut.

SARIKEI:  Kerosakan lampu isyarat utama yang terletak di tengah-tengah bandar  Sarikei sejak 7 Ogos hingga petang semalam, telah menimbulkan pelbagai kesulitan khususnya kepada pergerakan lalu lintas.

Masalah ini juga telah mendapat pelbagai reaksi daripada masyarakat terutama  pengguna jalan raya.

Penduduk tempatan, Sila Akun, 60, berkata bagi pengguna yang menggunakan motosikal keadaan ini agak membahayakan dan memberi risiko kemalangan yang boleh berlaku bila-bila masa sahaja.

“Ini kerana kebanyakan kenderaan besar seperti kereta, lori dan sebagainya tidak mengendahkan pengguna yang menggunakan motosikal atau basikal yang melalui jalan ini.

“Masalah lalu lintas yang tidak terkawal ini menjadi lebih parah apabila waktu puncak tiba, di mana kenderaan keluar masuk laluan sesuka hati tanpa ada kawalan daripada pihak tertentu,” kata Sila.

Seorang kakitangan kerajaan yang hanya mahu dikenali sebagai Adi berkata pada petang Khamis (9 Ogos) lepas sewaktu dalam perjalanan balik ke rumah, kereta yang dipandunya telah berlanggar dengan sebuah kenderaan di tengah-tengah lampu isyarat terbabit.

“Sungguhpun kemalangan tersebut tidak serius tetapi ia telah mengakibatkan bahagian belakang kereta saya rosak dan tercalar sedikit.

“Saya  tidak tahu kenapa masalah di lampu isyarat ini boleh melarat sampai memakan tempoh masa hampir satu minggu untuk dibaiki.

“Bagaimanakah nanti apabila tiba musim perayaan ia masih tidak dibaiki, saya yakin ia bakal menimbulkan lebih banyak masalah kesesakan dan kesan sampingan yang lain,” kata Adi.

Tambahnya, berdasarkan keadaan pada masa lalu, setiap kali sesuatu musim perayaan tiba, bandar Sarikei adalah sebuah bandar yang sangat sibuk dan sentiasa dibanjiri kenderaan.

“Kita berharap masalah ini dapat diatasi segera oleh pihak yang bertanggungjawab kerana dalam beberapa hari sahaja lagi bandar Sarikei bukan hanya dipenuhi kenderaan penduduk setempat tetapi akan didatangi kenderaan dari luar yang dalam perjalanan untuk balik kampung atau untuk membeli-belah di bandar ini,” ujar Adi ketika ditemui pemberita, semalam.

Tinjauan pemberita ke lampu isyarat terbabit semalam, mendapati bahawa kemudahan terbabit masih lagi belum dibaiki dan papan tanda yang ditulis dengan perkataan ‘ROSAK’ dengan tulisan tangan jelas digantung di setiap lampu isyarat tersebut.