Pengurusan kewangan, pentadbiran k’jaan BN diyakini

0

SIBU: Kejayaan Sarawak memperolehi pinjaman projek pembiayaan kerajaan ke kerajaan membuktikan keyakinan pelabur luar negara ke atas sistem pengurusan kewangan dan pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) Negeri.

Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop Abdullah Saidol berkata, melalui projek pembiayaan kerajaan ke kerajaan itu, kerajaan negeri berjaya memperolehi pinjaman dianggarkan AS$1 bilion daripada Kerajaan China untuk membangunkan kilang pulpa di Bintulu.

“Atas sebab keyakinan pelabur luar negara, Sarawak adalah negeri paling selamat untuk menanam modal, membolehkan kerajaan negeri memperoleh projek pembiayaan kerajaan ke kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis berbuka puasa anjuran Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Wilayah Tengah dan Biro Ekonomi Pemuda PBB Negeri di sebuah restoran terkemuka di sini, malam kelmarin.

Pada majlis itu, Abdullah turut menyampaikan duit raya kepada saudara kita dari kawasan Bintangor, Bawang Assan, Teku, Sibu, Kapit dan Kanowit serta kepada beberapa surau sumbangan Noble Mermaid Sdn Bhd.

Antara yang hadir pada majlis tersebut ialah Naib Ketua Pemuda PBB Negeri merangkap Pengerusi Biro Ekonomi Pemuda PBB Negeri Pandi Suhaili, Ahli Exco Pemuda PBB Negeri merangkap Timbalan Pengerusi Pemuda PBB Wilayah Tengah Radin Kadri Radin Budiman serta ahli-ahli Pemuda PBB daripada 40 cawangan di negeri ini.

Abdullah memberitahu, pembangunan kilang pulpa dengan menggunakan sumber hasil daripada ladang penanaman hutan di negeri ini, merupakan satu daripada pembangunan strategik di kawasan kemajuan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

“Kilang pulpa yang terbesar di negara ini akan menggunakan pokok acacia hasil daripada ladang penanaman hutan di negeri ini,” jelasnya sambil menggesa masyarakat Bumiputera di negeri ini supaya bijak menghidu peluang dan mengambil kesempatan daripada pembangunan SCORE jika tidak mahu ketinggalan.

Menurutnya satu daripada kesempatan yang harus direbut oleh masyarakat Bumiputera di SCORE ialah peluang pekerjaan yang menawarkan gaji lumayan dan dalam hubungan ini, beliau mengajak lepasan sekolah di kawasan DUN Semop supaya mengikuti latihan kemahiran di institusi atau sekolah kemahiran berkaitan.

“Berdasarkan penilaian (rating) yang dibuat oleh sebuah agensi bebas antarabangsa yang mengiktiraf Sarawak sebagai sebuah negeri paling diyakini oleh pelabur luar negara, menjelang 10 atau 15 tahun akan datang, Sarawak akan membangun pesat dengan rakyatnya memperoleh pendapatan tinggi.

“Kita satu-satunya negeri di Malaysia yang mendapat penilaian paling tinggi dari segi sistem pengurusan pentadbiran dan kewangan oleh agensi terbabit,” katanya sambil menegaskan, politik pembangunan yang dipelopori oleh Ketua Menteri meliputi bidang yang cukup luas.

Tambahnya, menggunakan saluran politik untuk merapatkan lagi silaturahim dan mempunyai hala tuju yang jelas untuk membawa negeri ini dan rakyatnya maju setanding dengan masyarakat antarabangsa adalah sebahagian daripada politik pembangunan Ketua Menteri.

Terdahulu, ADUN Nangka Dr Annuar Rapaee bersama ahli-ahli Pemuda PBB Wilayah Tengah mengagih-agihkan Jalur Gemilang sumbangan Noble Mermaid Sdn Bhd kepada pemilik kenderaan di Jalan Simpang Tiga sebagai sebahagian daripada program sambutan Hari Kemerdekaan.