Cubaan keluar negara gagal

0

JOHOR BAHRU: Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Johor menahan lima pendatang asing tanpa izin (Pati) yang cuba menyeludup keluar dari negara ini secara haram menerusi Ops Serkap, 13 Ogos lalu, Malaysian Digest quoted, Sinar Harian reported

Kesemua Pati berusia antara lima hingga 31 tahun itu ditahan dalam Ops 6P yang diketuai oleh Timbalan Penolong Pengarah Imigresen (II) negeri, Amzari A Jalil itu disertai oleh 10 anggota dan lokasi tumpuan adalah di persisiran Sungai Tiram, Ulu Tiram, dekat sini.

Kelima-lima Pati terbabit merupakan antara 300 warga asing yang cuba meninggalkan negara melalui ‘lorong tikus’ menggunakan tiga buah bot.

Amzari berkata, rondaan pihaknya bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Wilayah Selatan ketika menuju ke muara Sungai Tiram menemui tiga buat bot dalam keadaan mencurigakan sedang berlabuh sementara menanti air pasang penuh untuk bergerak ke arah Batam, Indonesia bersama Pati.

Menurutnya, ketika menghampiri bot terbabit dengan menyalakan lampu suluh dan memperkenalkan diri sebagai anggota Imigresen, sebuah daripada tiga bot berkenaan menerpa laju ke arah bot Maritim, manakala dua yang lain menghala ke arah kiri masuk ke Sungai Tiram.

“Bot Maritim sempat mengelak seterusnya berjaya mengejar dan memintas ketiga-tiga bot terbabit. Ketika kejadian, ketiga-tiga bot ini sarat dengan penumpang disyaki warga Indonesia.

“Ketiga-tiga bot ini berpatah balik masuk ke Sungai Tiram. Bagaimanapun tindakan mereka menyebabkan bot dinaiki tersangkut di lumpur kerana keadaan air yang cetek ketika kejadian.

“Tekong segera melarikan diri dengan terjun ke sungai bersama penumpang. Ketika itu, kedengaran suara riuh rendah Pati dan kanak-kanak menjerit serta menangis. Kesemua mereka terjun ke sungai yang berlumpur menghala ke tebing dan bersembunyi di semak,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.

Amzari berkata, hasil daripada pemeriksaan lanjut dilakukan ke atas ketiga-tiga bot terbabit menemui 120 beg yang dibungkus menggunakan plastik hitam disusun secara rapi dipercayai kepunyaan penumpang.

“Oleh kerana air cetek pada ketika itu, anggota perondaan terpaksa memanggil sebuah bot kecil nelayan yang kebetulan lalu untuk menghantar anggota lain ke arah bot yang tersangkut.

“Selepas diperiksa, terdapat banyak beg dipercayai kepunyaan penumpang bot. Ketiga-tiga bot ini disita untuk tindakan jabatan dan dianggarkan jumlah keseluruhan penumpang adalah 300 orang tanpa jaket keselamatan,” katanya.

Katanya, kelima-lima dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Pekan Nenas, Pontian untuk siasatan lanjut.