Vest syor Smith bantu bangun bola sepak remaja

0

KUCHING: Usaha bekas jurulatih Sarawak Alan Vest memartabatkan bola sepak negeri tidak pernah terhenti.

Terbaru, beliau mengesyorkan bekas penjaga gol dari England Graham Smith bagi membantu membangunkan program bola sepak remaja Sarawak.

Vest berkata pengalaman meluas Smith melatih beberapa kelab di England dapat membantu meningkatkan mutu bola sepak negeri. “Smith memulakan karier dalam bola sepak pada 1968 dengan kelab Notts County.

Beliau juga pernah bermain dengan kelab-kelab seperti Colchester United, West Bromwich Albion dan Cambridge United,” menurut Vest ketika ditemu ramah oleh Utusan Borneo semalam.

Menurut Vest lagi, Smith pernah melatih Nuneaton Borough sebelum beralih arah ke Dudley Town selama enam tahun. Beliau juga pernah melatih kelab luar liga Tamworth FC selama lima tahun.

Smith pernah dijulang selaku jurulatih paling berjaya di England setelah membawa Tamworth FC menjulang piala kejohanan FA Vase dengan menewaskan Sudbury Town di Peterborough United’s London Road.

“Setelah bersara dari bermain, Smith bekerja dengan pelbagai kelab di England dan Amerika Utara dalam membangunkan bakat-bakat remaja.

“Saya percaya pengalaman beliau tersebut dapat membantu memantapkan bola sepak Sarawak,” jelas Vest sambil menambah Smith ialah rakan baiknya ketika samasama bermain di Divisyen 1 Inggeris.

Sebagai permulaan Smith bercadang membawa dua atau tiga pemain bola sepak Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak menjalani latihan di akademi bola sepaknya di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Menurut Smith, akademi bola sepaknya telah melahirkan 15 orang pemain yang beraksi di Major Soccer League (MSL).

“Saya mahu melihat ramai remaja di Sarawak menjadikan bola sepak sebagai karier. Ia menjanjikan pendapatan yang lumayan di masa hadapan,” jelas Smith.

Sementara itu, Vest berkata bola sepak di Sarawak masih boleh berkembang dan bakal menjadi kuasa di Malaysia sekiranya program pembangunan yang intensif dijalankan.

Vest pernah membawa Sarawak menjulang Piala FA pada 1992 dan sekarang bertindak selaku Pengarah Teknikal Program Pembangunan Bola Sepak Sarawak (SFDP).