60 anak yatim dirai pada majlis buka puasa bersama warga PPD Tatau

0

BINTULU: Seramai 60 anak yatim diraikan pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Anak-anak Yatim Daerah Tatau di pekarangan Pejabat Pelajaran Daerah Tatau petang kelmarin.

Majlis anjuran Pusat Pelindung Kanak-kanak dan Pusat Aktiviti Kanak-kanak Daerah Bintulu (PAKK) Jabatan Kebajikan Masyarakat Bahagian Bintulu dan Badan Kebajikan Islam Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Tatau itu turut membabitkan penyampaian sumbangan duit raya dan kuih raya kepada anak-anak yatim terbabit.

Majlis itu dihadiri oleh Pegawai JKM Bahagian Bintulu, Evelyn Clif; Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Tatau, Muhd Nor Abdullah@Tana; Ketua Unit Pendidikan Islam dan Moral Pejabat Pelajaran Daerah Bintulu, Yusuf Piee; Pegawai JKM Daerah Tatau, Kisamudin Kiprawi; Naib Pengerusi Badan Kebajikan Islam Pejabat Pelajaran Daerah Tatau, Mohd Hafiz Husin dan Pengerusi PAKK Daerah Bintulu, Janudin Ab Rahman.

Janudin berkata, program itu bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturrahim antara ahli jawatankuasa PAKK dan Badan Kebajikan Islam PPD Tatau dengan masyarakat setempat.

Sementara itu, Muhd Nor menghargai usaha JKM Bintulu menganjurkan program itu yang sebelum ini turut membantu menjayakan program Motivasi dan Klinik UPSR 2012 untuk 300 murid Tahun 6 Daerah Tatau.

Beliau turut memaklumkan mengenai program tersebut sebagai ilham daripada Pegawai Pelajaran Daerah Tatau, allahyarham Madzihi Alfred yang turut menubuhkan Badan Kebajikan Islam PPD Tatau.

Allahyarham meninggal dunia pada 13 Ogos lalu di Hospital Bintulu akibat kanser.

“Kita berharap program itu dapat diteruskan pada masa akan datang memandangkan ia baik untuk membantu pembangunan insan terutamanya untuk anak-anak yang kehilangan ibu bapa mereka,” jelasnya.

Pada majlis yang sama antara aktiviti lain yang turut dilangsungkan ialah bacaan tahlil untuk allahyarham Madzihi, solat maghrib dan isyak berjemaah, jamuan makan malam, tazkirah dan solat sunat tarawih.