Kemakmuran hasil kerja keras BN

0

TIDAK DILUPAKAN: Abu Seman Jahwie (berdiri, empat kiri) dan Habari (berdiri, tiga kiri) bersama-sama sebahagian daripada ibu tunggal dan penerima lain pada majlis penyampaian sumbangan Hari Raya di Surau Kampung Halud, Matu dekat Sibu, kelmarin.

SIBU: Rakyat terutama yang tinggal di luar bandar negeri ini akan mengecapi lebih banyak program pembangunan termasuk pelbagai bantuan daripada kerajaan jika Barisan Nasional (BN) terus diberi mandat oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng merangkap Setiausaha Politik Ketua Menteri Abu Seman Jahwie berkata, nikmat kemajuan dan kemakmuran yang rakyat kecapi selama ini adalah atas usaha bersungguh-sungguh pemimpin dalam kerajaan BN.

“Sebagai contoh, semua kampung di Matu sekarang boleh dihubungi dengan jalan raya,” katanya berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya kepada 48 orang ibu tunggal di Surau Kampung Halud, Matu dekat sini, kelmarin.

Menurutnya, kesediaan kerajaan untuk membelanjakan wang beratus-ratus juta ringgit bagi membina jalan raya meliputi semua kampung di Matu adalah semata-mata untuk kesenangan dan meningkatkan taraf kehidupan rakyat.

Abu Seman berkata, beliau percaya kerajaan BN Pusat akan menghulurkan lebih banyak lagi peruntukan untuk negeri ini jika semua calon BN yang bertanding pada PRU13 akan datang mendapat sokongan penuh rakyat.

“Sekiranya lebih banyak peruntukan dihulurkan kepada negeri ini, bermakna yang mendapat faedahnya ialah rakyat,” jelasnya sambil menegaskan, pemimpin kerajaan BN pusat tidak pernah melupakan sokongan rakyat Sarawak.

Pemberian RM500 di bawah Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) untuk mereka yang berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan, ujarnya, membuktikan keprihatinan kerajaan BN terhadap golongan berpendapatan rendah dan kesediaan kerajaan membantu rakyat dalam masa sukar.

“Begitu juga di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin, mereka yang dikategori sebagai miskin tegar akan mendapat bantuan sepenuhnya daripada kerajaan BN bagi memiliki rumah baharu, tambah beliau.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Pegawai Daerah Matu, Habari Bakar serta ketua-ketua masyarakat lain.

Terdahulu, Abu Seman dan Habari berbuka puasa bersama penerima sumbangan Hari Raya dan penduduk setempat disusuli berjemaah solah maghrib, isyak dan sunat tarawih di surau sama.