SIBU: Bandar Sibu dipilih menjadi tuan rumah perhimpunan merdeka sempena sambutan Hari Kemerdekaan Ke-55 Peringkat Negeri bertemakan Janji Ditepati pada 31 Ogos ini.
Residen Sibu Sim Kok Kee berkata, sambutan kemerdekaan akan diadakan di Dataran Bandar Sibu seawal jam 6 pagi dengan acara Larian Merdeka di Dataran Bandar Sibu Fasa II.
“Larian Merdeka akan dimulakan di Muzium Memorial Hospital Lau King Howe dan berakhir di Koridor Chuan di Dataran Bandar Sibu Fasa II.
“Acara pelepasan peserta akan dilakukan oleh Menteri Kewangan Kedua merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti Dato Sri Wong Soon Koh pada jam 6 pagi,” jelasnya.
Sim berkata demikian kepada pemberita selepas mesyuarat persiapan sambutan Hari Kemerdekaan Ke-55 Peringkat Negeri di bilik mesyuarat Pejabat Residen, semalam.
Turut hadir ialah Ketua Penolong Pengarah Unit Perhubungan Awam dan Hal Ehwal Korporat Jabatan Ketua Menteri Hamdan Sharbini, Pegawai Penguasa Pejabat Pembangunan Sosial Bahagian Sibu Joe Frazier Sawed dan Setiausaha Majlis Perbandaran Sibu Hii Chang Kee.
Katanya lagi, dianggarkan seramai 3,000 peserta akan mengambil bahagian dalam enam kategori Larian Merdeka yang melibatkan jarak sejauh lima kilometer untuk semua kategori.
“Enam kategori iaitu kategori lelaki dan wanita 18 tahun ke bawah, kategori lelaki dan wanita terbuka (19 hingga 44 tahun) dan kategori lelaki dan wanita veteran 45 tahun ke atas,” ujar beliau.
Tambah beliau, anggaran 10,000 orang akan mengambil bahagian dalam acara senam seni dan persembahan padang di Dataran Bandar Sibu Fasa I.
“Persembahan padang akan melibatkan penyertaan pelajar sekolah menengah sekitar bandar Sibu dan belia dari setiap bahagian.
“Penyerahan Jalur Gemilang kepada Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin dan Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud akan dilakukan oleh rombongan Ronda Merdeka Belia,” jelas Sim.
Sebagai gimik persembahan padang, kehadiran pemenang pingat gangsa sukan Olimpik London 2012 Pandalela Rinong Pamg akan memeriahkan lagi persembahan tersebut.
Sehubungan itu, Sim menjemput orang ramai, kakitangan agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) datang beramai-ramai memeriahkan suasana sambutan Hari Kemerdekaan Ke-55 peringkat negeri.