Isu royalti perlu dibincangkan dengan Perdana Menteri: Taib

7

KENANGAN: Taib dan isteri bergambar bersama rombongan tetamu yang hadir pada majlis rumah terbuka anjuran beliau di BCCK, Ahad lepas.

KUCHING: Semakan semula bayaran royalti petroleum sebanyak lima peratus ke­pada Sarawak seperti yang disuarakan oleh beberapa pemimpin negeri baru-baru ini perlu dirujuk kepada Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak. Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata dalam hubungan antara kera­jaan negeri dan pusat, beliau sentiasa berbincang dengan Perdana Menteri mengenai apa jua isu dan permasalahan.

“Lebih baik berbincang dengan Perdana Menteri… inilah cara yang selalu dilaku­kan dalam hubungan antara kerajaan negeri dan pusat,” katanya ringkas.

Beliau yang ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri anjurannya di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), Ahad lepas turut menyedari ada pihak membangkitkan hal ini.

“Saya tahu ada orang ber­cakap mengenai perkara ini, tetapi orang itu tahu apa kedudukan Sarawak dahulu dan dia sendiri tidak setuju dengan perkara ini.

“Tetapi apa yang berlaku kini adalah sebaliknya dan saya tidak menganggap orang itu bersungguh-sungguh,” katanya.

Antara pemimpin negeri dalam kerajaan yang meny­uarakan agar bayaran roy­alti kepada Sarawak disemak semula dan dipinda ialah Menteri Kanan Tan Sri James Masing.

Masing dipetik sebagai berkata: “Memandangkan Sarawak dan Sabah adalah penyumbang utama kepada pengeluaran petroleum ne­gara, royalti lima peratus bagi kedua-dua negeri harus dis­emak semula dan dipinda.”

Sementara itu Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah turut menyuarakan hasrat yang sama dengan menyatakan sudah tiba masanya untuk semakan semula.

“Pengeluaran petroleum sudah meningkat disebabkan kemajuan teknologi yang bermakna pendapatan juga akan meningkat. Maka adalah logik untuk menyemak semula kuantum,” katanya.

Dalam pada itu, rumah terbuka Ketua Menteri Ahad lepas tidak lengang daripada pengunjung terdiri daripada pelbagai pangkat, keturunan, kaum, agama dan latar belakang.

Antara yang hadir mengunjungi Ketua Menteri dan isterinya Puan Sri Ragad Kurdi Taib ialah Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar, Setiausaha Kerajaan Tan Sri Datuk Amar Morshidi Abdul Ghani, menteri-menteri kabinet, pemimpin-pemimpin masyarakat dan lain-lain.

Selain menyediakan jamuan, Taib dan isteri turut menyampaikan duit raya kepada warga emas, kanak-kanak, orang kurang upaya (OKU) dan golongan kurang bernasib baik yang lain.