Lapan buah rumah kayu ranap

0

RANAP: Kelihatan anggota bomba sedang berusaha memadamkan api di tempat kejadian.

65 penduduk Kampung Nangka, Sibu tinggal sehelai sepinggang selepas rumah terbakar

SIBU: Sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini tidak bermakna lagi buat sekurang-kurangnya 65 penduduk daripada 12 keluarga di Kampung Nangka setelah mereka kehilangan tempat tinggal selepas lapan rumah kayu dua tingkat mereka yang terletak di tebing Sungai Rajang musnah dijilat api dalam kejadian kebakaran pada awal pagi semalam.Salah sebuah rumah terbabit ialah milik kepada bapa seorang wartawan akhbar The Borneo Post, Ishak Muhing, 72, yang turut musnah dalam kebakaran itu dan api dipercayai bermula dari rumahnya sekitar jam 4.30 pagi sewaktu ahli keluarga mangsa sedang nyenyak tidur.

Beliau mendakwa anaknya turut mengalami kecederaan di bahagian leher, tangan dan belakang badannya sementara anak perempuannya pula melecur serius di sebelah tangan kanan dan dahinya turut mendapat cedera ringan.

Kedua-dua mangsa itu telah dihantar ke Hospital Sibu dan hanya dirawat sebagai pesakit luar.

“Saya cuma dapat menyelamatkan sebuah kereta dalam detik-detik cemas itu,” kata Ishak sambil menambah bahawa tiga motosikal telah musnah dijilat api.

Lapan orang ahli keluarga termasuk enam kanak-kanak bernasib baik kerana tidak mengalami sebarang kecederaan, jelasnya.

Anak mangsa yang merupakan wartawan akhbar itu difahamkan bergegas pulang ke rumah bapanya dari Saratok pada waktu pagi selepas adik perempuannya yang cedera itu memaklumkannya semasa kejadian terbabit.

Sebelum itu, dia pulang ke Saratok untuk menyambut Hari Raya bersama mentuanya di sana.

Dipercayai kebakaran itu berlaku dari bawah dapur salah sebuah rumah terbabit.

Bagaimanapun Ishak memberitahu, tiada siapa yang memasak pada masa itu di rumahnya.

Api yang marak ketika angin bertiup kencang masa itu telah menyebabkan api merebak ke rumah-rumah lain.

Namun, punca kebakaran masih belum dapat dipastikan lagi.

Seorang lagi mangsa kebakaran yang hanya ingin dikenali sebagai Caroline dan merupakan seorang kakitangan Hospital Sibu menjelaskan bahawa dia terdengar kekecohan berlaku namun kembali menyambung semula tidurnya.

“Saya mendengar bunyi bising dan beranggapan kemungkinan bunyi bising itu adalah datang dari jiran yang bertengkar,” kata wanita berusia 30-an itu.

Tidak lama selepas itu, mangsa terbangun apabila terasa sesuatu yang terang dan panas sekali gus melihat api yang seterusnya membuatkannya bangun serta-merta untuk membawa anaknya yang berusia 14 tahun keluar dari rumah terbabit.

Dalam keadaan tegang serta kelam-kabut itu, mangsa hanya berjaya menyelamatkan sebuah motosikal dan basikal dan beg sekolah anak-anaknya.

Tetapi kebanyakan penghuni rumah (mangsa) tidak dapat menyelamatkan barang-barang mereka dalam kejadian terbabit.

Caroline berkata, ibunya telah membawa dua orang lagi anaknya yang lain ke Kuching untuk bercuti.

Lapan rumah dikatakan ranap dijilat api sementara dua rumah kayu dua tingkat turut terjejas oleh kebakaran terbabit.

Penghuni dua buah rumah terbabit telah berjaya menyelamatkan rumah mereka dengan memadam api daripada terus merebak menjilat rumah mereka.

Sementara itu Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Bahagian Sibu Abdul Mutalib Rashid berkata, seramai 22 anggota bomba dengan dua jentera bomba termasuk sebuah van dan tiga motosikal berkuasa tinggi bomba telah dikerah ke tempat kejadian sejurus selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 4.52 pagi.

“Anggota bomba dari Balai Sentral dan Balai Sungai Merah telah bergegas ke tempat kejadian,” ujarnya.

Beliau memberitahu bahawa anggotanya turut mendapatkan bantuan daripada lima anggota penyelamat Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) untuk memberi bantuan.

Tambahnya, punca kebakaran itu masih lagi dalam siasatan sementara jumlah kerugian juga masih disiasat.

Turut melawat mangsa-mangsa kebakaran semalam ialah Ahli Dewan Undangan Nangka (ADUN) Dr Annuar Rapaee, Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu merangkap Ahli Parlimen Lanang Datuk Tiong Thai King dan Temenggung Vincent Lau bagi menyampaikan sumbangan kepada mangsa-mangsa terbabit.