Sebuah syarikat kawalan keselamatan diceroboh

0

Syarikat kerugian lebih RM68,000 setelah pejabatnya di Pusat Komersil Morsjaya, Miri dipecah masuk pencuri

MIRI: Sebuah syarikat kawalan keselamatan kerugian lebih RM68,000 setelah pejabatnya yang terletak di Pusat Komersil Morsjaya di sini dipecah masuk pencuri pada malam Isnin lalu.

Berikutan itu, satu laporan polis telah dibuat oleh pengurus syarikat terbabit di Balai Polis Pusat Miri di sini pagi kelmarin.

Dalam aduannya, pengurus terbabit mendakwa sekitar jam 9.30 pagi, beliau telah diberitahu oleh seorang kakitangannya yang menyatakan pejabat syarikat telah dipecah masuk pencuri.

Beliau yang kemudian membuat pemeriksaan lanjut di premis berkenaan mendapati wang tunai berjumlah lebih RM68,000 yang disimpan di dalam sebuah peti keselamatan di pejabat berkenaan telah hilang dipercayai dilarikan pencuri terbabit dengan memotong bahagian kuncinya.

Dalam pada itu menurut sumber, polis yang pergi ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan lanjut mendapati tiada kesan umpil pada pintu bahagian depan pejabat dan mengesyaki kecurian itu dilakukan oleh orang dalam.

Ketika kejadian, terdapat pengawal keselamatan ditugaskan mengawal premis pejabat tersebut.

Berikutan itu, sekitar jam 8 malam kelmarin (Selasa), polis telah menahan enam pengawal keselamatan di syarikat terbabit untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan polis.

Hasil siasatan awal pada sekitar jam 11 malam, polis telah menangkap dua daripada pengawal keselamatan terbabit yang mencurigakan untuk membantu siasatan lanjut berhubung kes tersebut.

Sekitar jam 12.30 tengah malam kelmarin, polis dengan dipandu arah oleh kedua-dua suspek telah pergi ke rumah mereka (suspek) yang masing-masingnya terletak di Senadin dan Morsjaya di sini untuk merampas barang kes namun tiada sebarang rampasan dibuat.