Isu hentian bas Ong Kongsi: K’jaan P. Pinang tidak peka suara rakyat

0

GEORGE TOWN: Tindakan kerajaan negeri Pulau Pinang mahu membina dua perhentian bas di hadapan bangunan warisan Ong Kongsi, di Jalan Penang di sini, adalah satu lagi bukti mereka tidak peka dengan suara rakyat.

Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Komtar Loh Chye Teik berkata ini kerana tapak yang dicadangkan terbabit adalah milik Ong Kongsi dan jawatankuasa tokong itu tidak bersetuju dengan cadangan tersebut.

“Pada masa sama, pembinaan dua perhentian bas berbumbung ini adalah salah di sisi undang-undang kerana MPPP (Majlis Perbandaran Pulau Pinang) menetapkan tiada bangunan dibangunkan secara haram di depan bangunan warisan selepas George Town diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia,” katanya di sini semalam.

Loh yang juga Setiausaha MCA Bahagian Tanjung turut mendesak MPPP tampil menyatakan bantahan mereka berhubung tindakan kerajaan negeri yang jelas bertentangan dengan peraturan tersebut.

Minggu lepas, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Ng Wei Aik dilapor mengumumkan dua buah perhentian bas berbumbung bernilai RM90,000 akan dibina di hadapan bangunan tokong Ong Kongsi yang dibina pada 1918 itu. — Bernama