95% liputan jalan raya di Sabah dan Sarawak dicapai menjelang 2015

0

KOTA KINABALU: Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yakin sasaran 95 peratus liputan infrastruktur terutama jalan raya di seluruh Sabah dan Sarawak, menerusi Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) di bawah Program Transformasi Kera­jaan (GTP) 2.0, akan tercapai menjelang tahun 2015.Beliau berkata dalam tem­poh tiga tahun pelaksanaan GTP 1.0, kerajaan melak­sanakan projek infrastruktur di sepanjang jalan di Seme­nanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

“Kalau kita lihat apa yang kita rangka di bawah NKRA dan yang kita capai berdasar­kan fakta yang ada, jumlah jalan sudah mencecah seh­ingga 1,700 lebih kilometer di seluruh negara.

“Sasaran awal kita (GTP 1) cuma 1,500km sahaja. Ini pun sudah mengatasi sasaran yang kita jangkakan dalam tempoh tiga tahun di bawah NKRA (di bawah GTP 1),” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri yang dihoskan oleh Ketua Pemuda UMNO Bahagian Papar Armizan Md Ali di kediamannya di Luyang dekat sini, malam kelmarin.

Mohd Shafie berkata demi­kian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri di Jaba­tan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala baru-baru ini bahawa NKRA luar bandar meletak sasaran 95 pera­tus liputan infrastruktur di seluruh Sabah yang antara lain membabitkan keperluan menyediakan jalan raya, air dan elektrik bagi golongan sasar.

Mohd Shafie juga yakin kementeriannya akan diberi peruntukan yang mencukupi bagi menjayakan misi GTP 2.0 terutama yang membabitkan pembangunan luar bandar.

“Saya sudah bangkitkan dalam kabinet bahawa ka­wasan luar bandar di negara ini terutama di Sabah dan Sarawak masih lagi memer­lukan bantuan daripada segi kewangan bagi memastikan kita dapat menghubungkan semua kampung.

“Dengan adanya perhubungan (jalan raya) yang baik, ia bukan sahaja membolehkan penduduknya dapat manfaat tetapi juga hasil keluaran, tangkapan dan pertanian mereka dapat dipasarkan, sekali gus meningkatkan pendapatan mereka,” katanya.

“Saya penuh yakin berdasarkan keperluan yang kita kemukakan kalau itu dapat dipersetujui, ia dapat menjayakan agenda untuk memastikan semua kampung di negara ini dapat dihubungi melalui jalan raya,” katanya.

Setakat ini, hampir 96 peratus kawasan di Semenanjung Malaysia mempunyai kemudahan jalan raya manakala di Sabah dan Sarawak, peratusannya kini melebihi 70 peratus, katanya sambil menambah sekitar 60 peratus kawasan di Sabah dan Sarawak sudah menikmati kemudahan bekalan air dan elektrik.

Beliau berharap situasi di Sabah dan Sarawak yang mempunyai kawasan yang besar akan terus mendapat perhatian daripada Perdana Menteri, sekali gus  menjayakan agenda pembangunan jalan raya di kedua-dua negeri itu. — Bernama