Jangan terpengaruh dengan fahaman bercorak emosional selesai masalah

3

KEHARMONIAN: Ding bersama rombongannya ketika menziarahi rumah Temenggung Junia Olia (duduk, dua kiri).

SARIKEI:  Kebijaksanaan, keadilan, perancangan ekonomi yang terancang serta beberapa pelan  jangka panjang dan pendek negara oleh pemimpin dan kerajaan Barisan Nasional (BN) telah membolehkan rakyat negara ini menikmati kesejahteraan dan keselesaan sejak merdeka hingga kini.

Namun semua nikmat ini boleh musnah dalam sekelip mata sekiranya rakyat mudah terpengaruh dan terikut-ikut dengan fahaman sesetengah pihak yang bercorak emosional dalam menyelesaikan sesuatu masalah yang bukannya budaya masyarakat kita, kata Ahli Parlimen Sarikei Ding Kuong Hiing.

Katanya pendekatan kekerasan tanpa kawalan emosi boleh menggugat keharmonian negara dan semua ini harus diatasi rakyat negara ini dengan bijak sekiranya mereka ingin memastikan kedaulatan dan keamanan negara ini terus dinikmati dan dikekalkan sampai bila-bila.

“Jika kita lihat pada hari ini negara ini kerap dijadikan contoh oleh negara-negara lain kerana rakyat yang terdiri daripada pelbagai rumpun bangsa dan agama dapat hidup dalam satu kelompok seumpama satu keluarga.

“Hari Raya, Tahun Baharu Cina, Hari Gawai dan sebagainya disambut meriah serta harmoni dan melibatkan semua pihak daripada pelbagai bangsa dan agama, di mana konsep ziarah-menziarahi disemai,” kata Ding.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sewaktu mengadakan kunjungan Hari Hari Raya ke beberapa rumah penduduk, ketua masyarakat dan kakitangan kerajaan dekat sini, baru-baru ini.

Menurutnya, dewasa ini masyarakat telah terdedah dengan pelbagai cabaran dan dugaan daripada pelbagai aspek dan sudut.

“Kita berharap masyarakat menggunakan kebijaksanaan dan pertimbangan yang sedalamnya dalam menangani semua ini serta tidak mudah terpengaruh bulat-bulat dengan propaganda yang dicanang oleh pihak tidak bertanggungjawab tersebut kerana kebanyakan usaha tersebut untuk kepentingan diri dan bukannya perjuangan untuk rakyat.

“Pilihanraya Umum Ke-13 (PRU13) adalah satu perjuangan yang sangat penting kepada kita, dan sehubungan dengan itu kita berharap rakyat harus sedar bahawa hanya kerajaan dan pemimpin mampu membimbing dan membawa mereka ke arah kesinambungan pembangunan dan kemajuan sedia ada kerana ia telah terbukti sejak dahulu hingga kini,” tegasnya.

Dalam kunjungan Hari Raya itu Ding bersama rombongannya telah menziarahkan rumah Temenggung Junia Olia, rumah Kaunselor Dayang Roayah, rumah Pegawai Daerah Sarikei Abang Porkan Abang Budiman serta beberapa rumah umat Islam yang lain.