Nikmat kemerdekaan

0

Sarawak makmur, capai pelbagai kemajuan selepas sertai Malaysia: KM

SIBU: Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata, kemerdekaan telah membawa kemakmuran yang begitu baik sekali kepada Sarawak selepas menyertai Malaysia pada tahun 1963.

Katanya, kemerdekaan telah menyebabkan Bumi Kenyalang pada hari ini mencapai kemajuan yang lebih banyak berbanding sebelum merdeka.

“Selepas merdeka, kita telah dapat meningkatkan pendapatan perkapita anak-anak Malaysia daripada RM668 setahun kepada lebih RM37,000 setahun pada hari ini.

“Ini merupakan penambahan kekayaan perkapita anak Malaysia hari ini termasuk di Sarawak kepada lebih daripada 50 kali ganda,” ujarnya ketika berucap pada Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-55 Peringkat Negeri Sarawak 2012 di Dataran Bandar Sibu, semalam.

Menurut Taib, pejuang kemerdekaan termasuk Yang di-Pertua Negeri Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin juga merupakan generasi yang penuh semangat memperjuangkan agar Sarawak menyertai Malaysia, sekali gus membentuk sebuah negara yang lebih besar dan kuat.

“Tun juga merupakan generasi yang penuh semangat memperjuangkan agar Malaysia dapat kita capai sebagai landasan kita menjadi sebahagian negeri dan negara yang lebih besar, yang akan mempunyai kekuatan ekonomi yang lebih besar.

“Pada masa sama dapat menggembleng semua tenaga daripada rakyat supaya dapat mempercepatkan pembangunan negeri dan mengisi semua harapan rakyat,” jelasnya.

Taib memberitahu, simbol terbaik Sarawak pada hari ini adalah generasi muda menunjukkan komitmen untuk terus meneruskan perjuangan pemimpin terdahulu dengan ikrar berdasarkan Rukun Negara sebagai panduan hidup.

Katanya, panduan hidup itulah yang menyatupadukan semua kaum, menjaga tata tertib dalam mencapai kemajuan demi kepentingan rakyat yang mahu hidup bertamadun serta mempunyai budi bahasa yang cukup baik.

“Kita mempunyai kesedaran masa hadapan yang lebih baik dan kita mahu menggunakan segala teknologi sains dan lain-lain untuk mentransformasikan negara ke arah kekuatan.

“Ini memerlukan rakyat yang benar-benar mahu berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana keuntungan bagi rakyat adalah bergantung dengan usaha mereka sendiri,” jelasnya.

Taib turut memberitahu, Sarawak sebelum ini amat bergantung kepada pertanian dan balak, namun kini bakal menjadi sebuah negeri yang moden dengan adanya industri berat dan kecil.

“Ini memerlukan anak-anak kita melengkapkan diri dengan pendidikan teknikal bagi membolehkan kita mengeluarkan produk yang ada harga tinggi, sekali gus memberikan pendapatan yang lebih tinggi.

“Menjelang tahun 2030, 32 peratus daripada anak-anak Sarawak akan terbabit dan mengikuti transformasi menjadi pekerja mahir dan separuh mahir untuk memacu industri dan menukar sumber yang ada menjadi produk canggih.

“Inilah kedudukan kita hari ini dan sebab semua rakyat perlu menyanjungi Jalur Gemilang (iaitu) sebagai tanda semangat kita yang berkobar-kobar maju ke arah yang lebih cemerlang.”

Sambil menyifatkan semua itu sebagai gambaran perubahan yang dialami selepas negara merdeka, beliau memberitahu sambutan tahun hadapan akan menjadi amat bermakna memandangkan Sarawak akan menyambut ulang tahun ke-50 menyertai Malaysia.

Hadir sama pada sambutan semalam ialah Tun Salahuddin dan isteri Toh Puan Datuk Patinggi Norkiah, Puan Sri Ragad Kurdi Taib, Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh serta yang lain.