Monday, December 5

Pembangunan dikecapi hasil hubungan baik yang terjalin: Musa

0

KOTA KINABALU: Pembangunan yang dikecapi Sabah seiring dengan negeri lain di negara ini adalah hasil hubungan baik dengan kerajaan Persekutuan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman, berkata pencapaian yang diperolehi menerusi pelaksanaan pelbagai rancangan dan dasar itu diharap dapat membantu mengurangkan jurang pembangunan antara Sabah dan negeri lain di Malaysia.

“Kami di Sabah komited sepenuhnya memastikan semua rancangan dan dasar seperti Program Transformasi Ekonomi (ETP), Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dilaksanakan dengan jayanya untuk manfaat rakyat,” katanya dalam perutusan sempena Hari Kemerdekaan ke-55, di sini kelmarin.

Musa berkata, kerajaan Persekutuan menerusi kepimpinan dinamik Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak mengemukakan pelbagai inisiatif mengurangkan beban rakyat.

Katanya, ia termasuklah melalui Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) dan Klinik Rakyat 1Malaysia.

“Ini adalah program yang perlu dihayati dan tidak dipenuhi dengan syak wasangka. Jangan membenarkan pembangkang memperkecilkan usaha yang berfaedah dengan nilai yang mulia ini,” katanya.

Musa sentiasa mengingatkan perkhidmatan awam negeri agar memberikan yang terbaik dalam memastikan semua projek dan program dirancang untuk Sabah boleh dilaksanakan tanpa kelewatan atau halangan birokrasi supaya memberi manfaat kepada rakyat.

Mengenai politik, beliau berkata beberapa perkembangan menarik telah berlaku di Sabah dan walaupun terdapat ketidaktentuan dalam landskap politik sejak dua dekad lepas, Sabah pada masa ini mempunyai wakil yang kukuh dalam Kabinet Persekutuan.

“Kami adalah rakan penting dalam Barisan Nasional (BN) dan kita tahu dengan mempunyai kerajaan yang stabil, kita boleh terus memberi tumpuan kepada rancangan pembangunan yang semuanya bertujuan membawa kemajuan kepada rakyat.

“Selepas 55 tahun merdeka, Malaysia kini berkembang sebagai sebuah negara bangsa dengan pelaksanaan pelbagai program transformasi merangkumi aspek ekonomi yang membantu meningkatkan taraf hidup rakyat,” jelasnya.

Tambahnya, menerusi kemajuan yang dibawa untuk rakyat tanpa mengira latar belakang dan lokasi geografi, ia membolehkan mereka turut sama terlibat dalam proses pembangunan yang dilaksanakan kerajaan.

Musa turut menyeru kepada rakyat Sabah agar berterusan menghasilkan sumbangan terhadap kejayaan pembangunan di negara ini.

“Jangan lupa, kita adalah sebahagian daripada Malaysia, dan rakyat daripada setiap negeri perlu bekerjasama antara satu sama lain untuk membawa kemajuan.

“Di samping kita berbangga dengan keindahan dan kepelbagaian di negeri ini, kita perlu tahu tanggungjawab dan peranan sebagai rakyat Malaysia,” katanya.