Penunggang motosikal maut di dalam Ambang Merdeka

0

TAWAU: Seorang penunggang motosikal berusia 17 tahun maut dalam nahas jalan raya di Kilometer 52 Jalan Tawau-Kunak selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, tangan dan paha.

Difahamkan, remaja itu dalam perjalanan menuju ke pusat bandar bagi meraikan sambutan Ambang Malam Merdeka sebelum motosikal yang ditunggangnya hilang kawalan dan terlanggar di bahagian belakang sebuah lori.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Ibrahim Chin, yang dihubungi di sini kelmarin pula berkata pihak polis masih menyiasat punca sebenar kejadian itu tetapi dalam masa sama pihaknya mengesahkan bahawa identiti mangsa telah dikenal-pasti.

“Mangsa dikenali sebagai Mohd Ajrul Hafizh Jumadi berketurunan Bugis dan beralamat di Kg Sungai Gading Batu 15,” katanya sambil menyatakan kemalangan itu dipercayai berlaku sekitar jam 6.10 petang.

Menurut Ibrahim, mangsa yang menunggang motosikal jenis Modenas Kris dan memakai plat pendaftaran bernombor ST3695E meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Klinik Balung oleh orang awam.

Beliau turut mengesahkan bahawa pemandu lori terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes terbabit kini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 oleh Pegawai Penyiasat, Inspektor Lahamad Saleng.