Tragedi Merdeka, dua remaja maut

1

POLIS memeriksa mayat mangsa setelah tercampak beberapa meter akibat rempuhan dalam kemalangan berdekatan lampu isyarat SM All Saints, Likas, awal pagi kelmarin.

KOTA KINABALU: Dua remaja maut dan seorang parah selepas motosikal yang ditunggang terbabit kemalangan jalan raya dalam tiga kejadian berasingan di sini, Tawau dan Penampang malam ambang merdeka dan pagi kelmarin.

Kedua-dua mangsa yang terbunuh masing-masing berusia 16 dan 17 tahun, manakala yang parah berumur 28 tahun.

Dalam kejadian di sini, seorang remaja terbunuh setelah motosikal yang ditungganginya merempuh sebuah pacuan empat roda di lampu isyarat berhampiran Sekolah All-Saints, Likas, awal pagi kelmarin.

Akibat rempuhan berkenaan, mangsa yang dikenali Brandon Justin, 16, meninggal dunia serta-merta di kejadian setelah tercampak di atas jalan dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Kejadian berlaku antara jam 6.30 hingga 7 pagi. Mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang dari meraikan sambutan kemerdekaan di ibu negeri pada malam semalam sebelum terbabit nahas jalan raya di lokasi terbabit.

Pemandu pacuan empat roda yang merupakan lelaki tempatan berusia 40an itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Ketenteraman Awam dan Trafik IPD Kota Kinabalu, Deputi Superitendan Peter Umbuas, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Menurut beliau, mangsa kini dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk proses bedah siasat.

“Bagaimanapun, kita meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini untuk tampil membantu pihak polis untuk siasatan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara dalam kejadian di Tawau, seorang penunggang motosikal berusia 17 tahun maut dalam nahas jalan raya di Kilometer 52 Jalan Tawau-Kunak selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, tangan dan paha.

Difahamkan, remaja itu dalam perjalanan menuju ke pusat bandar bagi meraikan sambutan Ambang Malam Merdeka sebelum motosikal yang ditunggangnya hilang kawalan dan terlanggar di bahagian belakang sebuah lori.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Ibrahim Chin, yang dihubungi berkata pihak polis masih menyiasat punca sebenar kejadian itu tetapi dalam masa sama pihaknya mengesahkan bahawa identiti mangsa telah dikenal-pasti.

“Mangsa dikenali sebagai Mohd Ajrul Hafizh Jumadi, beralamat di Kg Sungai Gading Batu 15,” katanya, sambil menyatakan kemalangan itu dipercayai berlaku sekitar jam 6.10 petang.

Menurut Ibrahim, mangsa yang menunggang motosikal jenis Modenas Kris dan memakai plat pendaftaran bernombor ST3695E meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Klinik Balung oleh orang awam.

Beliau turut mengesahkan bahawa pemandu lori terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes terbabit kini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 oleh Pegawai Penyiasat, Inspektor Lahamad Saleng.

Di Penampang, seorang penunggang motosikal cedera parah selepas motosikal yang ditungang terlibat kemalangan dengan sebuah kereta di Kampung Nambazan, Penampang, jam 11 malam Rabu lalu.

Mangsa warga tempatan berusia 28 tahun mengalami patah kedua-dua tangan dan kaki, kini dirawat di Hospital Queen Elizabeth (QEH) dan dilaporkan kritikal.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superitendan Ratan Kumar Singh, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.