Penipuan alat timbang dibanteras

0

UJI PENIMBANG: Wan Uzir (dua kiri) menguji ketepatan alat penimbang yang digunakan oleh peniaga di Pasar Tamu Satok di Kuching semalam.

KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Neg­eri, Koperasi dan Kepeng­gunaan (KPDNKK) se­malam mengesan 16 kes penipuan alat timbang dan sukat di negeri ini mem­babitkan rampasan bernilai RM27,000. Dalam operasi yang di­adakan secara serentak di seluruh negeri itu semalam, KPDNKK dengan kerjasama Metrologi Corporation Ma­laysia Sdn Bhd turut menge­luarkan 33 amaran.

Menurut Pengarah KP­DNKK Sarawak Wan Ah­mad Uzir Wan Sulaiman, kebanyakan daripada 16 kes semalam membabitkan tamat tempoh dan peniaga perlu mengambil semula alat tim­bang yang dirampas dengan bayaran kompaun RM300.

“Operasi ini tertumpu di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972 dan kami akan merampas terus alat-alat penimbang sama ada jenis elektronik atau neraca yang didapati telah tamat tempoh atau tidak tepat.

“Di bawah akta ini, jika peniaga enggan atau gagal men­jelaskan bayaran kompaun, mereka boleh dikenakan denda RM4,000 atau penjara tiga tahun.

“Jadi, kami tidak mahu mendengar alasan popular daripada para peniaga iaitu lupa, kerana tidak ada lagi amaran untuk operasi seterus­nya dan kami akan merampas terus alat-alat timbang dan sukat yang melanggar akta ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas operasi semakan alat timbang dan sukat di Pasar Tamu Satok di sini semalam.

Turut serta pada operasi tersebut ialah Pegurus Ca­wangan Metrology Malaysia Sdn Bhd Amirul Husaini A. Hamid serta pegawai-pegawai penguat kuasa KPDNKK yang lain.

Kesemua 16 kes semalam dikenal pasti di Bintulu dan Kuching masing-masing tu­juh dan sembilan kes, dan dijangka bertambah hasil dari­pada operasi yang dilakukan di bahagian-bahagian lain di negeri ini.

Dalam perkembangan berkaitan, KPDNKK pada operasi itu semalam turut merampas sebanyak 351 unit cakera padat cetak rompak bernilai RM1,755 daripada se­buah premis yang beroperasi di sekitar Satok di sini.

Rampasan di luar jangkaan oleh KPDNKK itu turut men­yaksikan premis berkenaan diarahkan tutup serta-merta kerana menjual cakera padat cetak rompak secara terbuka di tempat awam.

Pada masa yang sama satu lagi kes membabitkan kegaga­lan meletak tanda harga turut dikenal pasti oleh KPDNKK menerusi operasi yang diad­akan di Pasar Tamu Satok itu semalam.