Perniagaan di Pasar Komuniti Stutong semakin baik

0

PERNIAGAAN MENINGKAT: Mahendran mencampur ramuan kari dan seterusnya dibungkus untuk jualan.

KUCHING: Selepas empat tahun berniaga di lokasi baharu, peniaga di Pasar Komuniti Stutong kini boleh menarik nafas lega apabila kesukaran mencari pelanggan yang dialami sebelum ini mula menunjukkan petanda positif.

Malah kebanyakan mereka yang merupakan peniaga Pasar Gambier memberitahu bahawa perolehan perniagaan mereka sudah meningkat berlipat kali ganda dan menyamai perolehan di lokasi perniagaan lama.

Pasar Gambier yang merupakan lokasi mencari rezeki bagi mereka kini menjadi bahan sejarah kerana struktur bangunannya sudah dirobohkan untuk memberi ruang kepada pembangunan Esplanade Tebingan Kuching.

Peniaga kelapa parut dan santan Taibi Limbong, 72, berkata aktiviti perniagaan di Pasar Komuniti Stutong sudah mula menampakkan kesan positif dengan peningkatan bilangan pelanggan termasuk yang datang dari Kota Samarahan.

“Sebelum ini semasa berniaga di tempat lama (Pasar Gambier), kebanyakan pelanggan mungkin dari perkampungan Melayu di seberang Tebingan Kuching namun sekarang pelanggan kami terdiri daripada pelbagai bangsa,” katanya ketika ditemui semalam.

Menurutnya, kesukaran yang dialaminya semasa mula berniaga yang melibatkan pendapatan sedikit tidak lagi membelenggu perniagaannya.

“Dahulu (semasa mula berniaga) hendak mendapat pendapatan RM100 ke RM200 sehari agak sukar namun sekarang Alhamdulillah, keadaan sudah banyak berubah,” ujarnya.

Taibi yang mula mengusahakan perniagaan kelapa parut lebih 40 tahun berkata, sebelum ini Pasar Gambier hanya sesak semasa perayaan Aidilfitri namun berbeza keadaannya di Pasar Komuniti Stutong.

“Setiap perayaan pasar ini penuh dengan pelanggan yang membeli pelbagai barangan,” jelasnya.

Bagi Mahendran Sockalingam, 52, perniagaannya sudah mula menampakkan kemajuan dari segi pendapatan dan peningkatan bilangan pelanggan.

“Sekarang ada pelanggan baharu yang membeli kari. Pelanggan lama di Pasar Gambier juga kerap datang ke sini,” kata Mahendran.

Menurutnya, tidak ada masalah lagi dialaminya termasuk dari segi bilangan pelanggan.

“Apa yang boleh saya beritahu, pendapatan di sini mula menyamai pendapatan di Pasar Gambier,” tambahnya.

PILIHAN RAMAI: Taibi menunjukkan santan yang sudah dibungkus dan merupakan pilihan pelanggan.