1,300 delegasi dijangka sertai kongres pediatrik

0

KUCHING: Kira-kira 1,300 delegasi dari negara-negara Asia Pasifik, United Kingdom dan Eropah dijangka menyertai Kongres Pediatrik Asia Pasifik Ke-14 dan Kongres Kejururawatan Pediatrik Asia Pasifik Ke-4 dari 8 hingga 12 September di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Datuk Dr Zulkifli Ismail berkata, dengan bertemakan ‘Bersama Menyeimbangkan Kesihatan Kanak,’ diharap delegasi kongres pada kali ini dapat menyumbang idea untuk menyelesaikan masalah kesihatan kanak-kanak di seluruh dunia.

“Tema ini dipilih berlandaskan perkembangan semasa memandangkan kanak-kanak di seluruh dunia mempunyai masalah kesihatan yang pelbagai. Justeru, kita perlu mencari kaedah terbaik untuk menyelesaikannya,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Menurutnya, setiap kanak-kanak perlu mendapatkan penjagaan kesihatan yang berkualiti bagi membolehkan mereka berkembang dengan lebih sihat.

“Kita (ahli pediatrik) biasanya menjadikan kanak-kanak sebagai keutamaan ia menyebabkan golongan ini harus mempunyai kesihatan lebih baik untuk memastikan masa depan mereka lebih cerah,” ujarnya.

Sementara itu, Persatuan Pediatrik Malaysia yang ditubuhkan sejak 1979 mempunyai keahlian sebanyak 400 ahli di seluruh negara.

Kebanyakan ahli terdiri daripada pakar pediatrik, jururawat pediatrik dan golongan lain yang terlibat dengan penjagaan kanak-kanak.

Dr Zulkifli menambah, tanggungjawab persatuan bukan hanya menjurus kepada kesihatan semata-mata tetapi menjangkaui isu-isu semasa seperti penderaan dan pengabaian terhadap kanak-kanak.