PDK baharu bakal atasi masalah kesesakan pelatih di Limbang

0

KEMUDAHAN: Hasbi (tiga kiri) menyerahkan kerusi roda kepada salah seorang pelatih PDK, sambil disaksikan (dari kiri) Aziah, Goh, Sufian dan ibu bapa pelatih terbabit semalam.

LIMBANG: Kesulitan yang dihadapi para pelatih orang kurang upaya (OKU) di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Limbang dijangka selesai selepas satu kertas kerja bagi pembinaan PDK baharu bakal dibentangkan di Parlimen untuk diluluskan dalam pembentangan Belanjawan 2013 hujung bulan ini.

Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian dan PDK Limbang sudah diarah untuk menyiapkan satu laporan lengkap mengenai kertas kerja tersebut sebelum pembentangan Belanjawan 2013 nanti.

Hasbi berkata, pada masa ini Limbang amat memerlukan sebuah PDK baharu bagi menggantikan PDK lama yang berdepan dengan kekangan dan kekurangan infrastruktur pembelajaran para pelatihnya yang terdiri daripada anak-anak OKU.

“Kita sudah minta JKM Bahagian dan PDK Limbang untuk menyiapkan kertas kerja yang lengkap untuk memohon PDK baharu sebelum dibawa ke Parlimen dan dibentangkan pada Belanjawan 2013 nanti,” katanya pada Majlis Ramah-tamah Aidilfitri anjuran PDK Limbang semalam.

Turut hadir ialah Wali Kota Majlis Daerah Limbang (MDL) Sufian Mohat, Penolong Pengarah JKM Bahagian Aziah Saruji dan Pengerusi PDK Limbang Goh Eng Hock.

Hasbi berharap permohonan untuk membina PDK baharu akan diberi perhatian kerajaan persekutuan sekali gus memberi keselesaan kepada para pelatih PDK.

Jelas Hasbi lagi, pertambahan jumlah pelatih PDK setiap tahun dan kekurangan kemudahan pembelajaran selain kawasan yang terhad menyebabkan PDK sedia ada tidak dapat menampung peningkatan pelatih baharu.

Pada majlis itu Hasbi turut menyerahkan sumbangan peribadi berbentuk sebuah kerusi roda kepada salah seorang pelatih PDK.