Regata 2013 berskala besar

0

TERIMA KASIH: Ose (kiri) menerima tajaan daripada wakil Petronas Wilayah Sarawak sambil disaksikan oleh Abdul Rahman (dua kanan).

KUCHING: Jawatankuasa penganjur Regata Sarawak merancang menganjurkan acara sukan air berprestij negeri itu pada skala yang lebih besar pada tahun depan.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri merangkap Penasihat Regata Sarawak 2012 Datu Ose Murang berkata selain acara utama, ia juga akan merangkumi pelbagai aktiviti seperti pameran dan lain-lain.

“Regata Sarawak menunjukkan penyertaan yang memberangsangkan iaitu bukan sahaja membabitkan pasukan pelumba tetapi juga oleh pihak lain.

“Maka itu, tahun depan kita akan membuat (Regata Sarawak) pada skala yang lebih besar dengan membabitkan organisasi awam dan swasta,” katanya.

Menurut Ose, tahun ini Regata Sarawak dijangka menarik apabila akan diadakan serentak dengan Karnival Sains dan Inovasi anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) pada 14 hingga 16 September ini.

“Kita berharap, untuk penganjuran Regata Sarawak tahun depan ia akan mendapat sokongan daripada MOSTI semula agar rancangan untuk penganjuran berskala besar ini dapat direalisasikan,” katanya.

Dari segi penyertaan, Ose berkata tahun ini telah menunjukkan jumlah yang memberangsangkan iaitu sebanyak 6,353 penyertaan berbanding tahun lepas 6,000 penyertaan.

“Kita yakin penyertaan yang banyak ini akan membawa kemeriahan kepada orang ramai dan menarik lebih ramai pelancong menyaksikannya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena majlis penyerahan tajaan daripada beberapa organisasi korporat kepada Regata Sarawak 2012 di bangunan Yayasan Sarawak, di sini semalam.

Penaja terdiri daripada JX Nippon Oil & Gas Exploration (Malaysia) Limited (RM30,000), Cahaya Mata Sarawak (RM25,000), Telekom Malaysia Berhad (RM20,000), Ta Ann Holdings Sdn Bhd (RM20,000), Sarawak Shell Berhad (RM20,000), Petronas Wilayah Sarawak (RM20,000), Yayasan Sarawak (RM10,000), Samling Strategic Corporation Sdn Bhd (RM10,000), CIMB Bank Berhad (RM2,000), 360 Hotel (RM2,000) Bintulu Lumber Development Sdn Bhd (RM1,000), Jurutera Perunding Wahba Sdn Bhd (RM1,000) dan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (RM1,000).

Turut hadir ialah Pengerusi Regata Sarawak 2012 yang juga Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan Datu Ik Pahon Joyik dan Residen Kuching Abdul Rahman Sebli Senusi.