Sunday, May 26

Lelaki warga asing rogol OKU dipenjara 14 tahun dan tiga sebat

0

KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga asing dijatuhkan hukuman penjara 14 tahun dan tiga sebatan rotan oleh Mahkamah Sesyen di sini kelmarin atas kesalahan merogol seorang remaja golongan orang kelainan upaya (OKU).

Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Zulkifli Abllah membuat keputusan itu di dalam kamarnya dan menjatuhkan hukuman itu terhadap Sius Toka, 47, selepas mengaku bersalah merogol mangsa yang berusia 15 tahun.

Dia didapati melakukan kesalahan itu pada 2 September tahun ini jam 4  petang dalam sebuah rumah di sebuah kampung di daerah Kota Belud.

Untuk itu, Sius didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat.

Mengikut fakta kes, kejadian itu telah berlaku beberapa kali semasa ibu bapa mangsa tiada di rumah ketika pergi ke ladang.

Bagaimanapun, kejadian itu diketahui apabila mangsa sendiri memberitahu perkara terbabit kepada seorang wanita, iaitu jirannya, bahawa tertuduh telah merogolnya.

Selepas mengetahui kejadian itu, jiran terbabit telah memberitahu perkara berkenaan kepada ayah mangsa. Kemudian mereka telah membuat laporan polis sehingga membawa kepada penangkapan tertuduh.

Hasil siasatan, tertuduh mengaku melakukan kesalahan itu dan kejadian berkenaan telah berlaku sejak bulan Jun tahun ini.

Dalam pada itu, Zulkifli menetapkan pada 25 September depan sebagai sebutan semula kes terhadap tertuduh atas pertuduhan tinggal lebih tempoh di negeri ini.

Sius didakwa melakukan kesalahan itu pada 4 September lalu di tempat yang sama mengikut Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1956/1963, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali.