Bandar Bintulu siap menunggu sambutan Hari Malaysia malam esok *new!

0

Photo by Muhammad Rais Sanusi

BINTULU: Persiapan bagi sambutan Hari Malaysia yang dijadual akan dilancarkan oleh Yang Dipertua Negeri Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin pada malam Ahad berjalan lancar di lapangan terbang lama Bintulu.

Majlis yang akan turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud itu akan menyaksikan kota tenaga ini mencatat sejarah tersendiri kerana dipilih sebagai tuan rumah sambutan tersebut bagi peringkat kebangsaan.

Tinjauan Utusan Borneo hari ini mendapati bandar yang kian pesat membangun ini mulai kelihatan lebih sibuk berbanding hari-hari biasa berikutan kedatangan para pegawai dan petugas sambutan berkenaan dan ketibaan para tetamu undangan.

Di kawasan tepi tapak berlangsungnya acara berkenaan itu juga mula dipenuhi dengan gerai-gerai menjual pelbagai barangan cenderamata dan pakaian.

Pentas utama dan pentas tetamu kehormat juga telah siap didirikan, cuma tinggal kerja-kerja terakhir sebelum raptai penuh diadakan pada malam ini dengan disaksikan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Najib dan isteri Puan Sri Rosmah Mansor dijangka tiba di Bintulu pada petang Ahad. Mereka dijadualkan menghadiri program tinjauan mesra di Kampung Asyikirin kira-kira pada jam 4.45 petang.

Majlis sambutan Hari Malaysia di lapangan terbang lama akan berlangsung pada kira-kira jam 8.30 malam Ahad yang akan diselitkan dengan pertunjukan bunga api, persembahan khas janji ditepati dan lain-lain acara sampingan.

Gambar-gambar menunjukkan sekitar persiapan di kawasan lapangan terbang lama Bintulu hari ini.

Photo by Muhammad Rais Sanusi

Photo by Muhammad Rais Sanusi

Photo by Muhammad Rais Sanusi

Photo by Muhammad Rais Sanusi

Photo by Muhammad Rais Sanusi

Photo by Muhammad Rais Sanusi

Photo by Muhammad Rais Sanusi

Photo by Muhammad Rais Sanusi