Ahli SUPP harus bersatu semula

0

SARIKEI: “Semua ahli Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) harus bersatu semula jika ingin memastikan parti ini terus kukuh dan terus mendapat kepercayaan penuh daripada peringkat akar umbi parti,” kata Ahli Parlimen Sarikei, Ding Kuong Hiing.

Ding berkata, segala pertikaian dan pertelingkahan sesama sendiri dalam parti itu harus diatasi dengan bijak.

“Jika pertelingkahan ini diteruskan, ia tidak akan membawa kita ke mana-mana, tetapi apa yang jelas bakal berlaku ialah kehancuran dan perpecahan.

“Tiada pihak lain yang mampu membawa kita ke arah kejernihan ini selain kita sendiri. Oleh yang demikian kita harus berusaha untuk memperbaiki kekusutan yang telah berlaku,” kata Ding.

Tambahnya, Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti adalah satu perjuangan yang sangat penting untuk semua komponen parti Barisan Nasional (BN).

“Usaha dan idea gabungan semua komponen untuk bersatu dan bekerjasama dalam mempertahankan setiap kerusi Parlimen pada PRU13 ini adalah satu perkara yang amat baik sekali.

“Langkah ini adalah satu landasan untuk membuktikan bahawa parti-parti yang bernaung di bawah payung BN adalah berjuang untuk satu tujuan sahaja iaitu untuk rakyat dan bukan untuk lain-lain agenda,” ujarnya.

Ding berkata demikian dalam ucapan perasmiannya pada Majlis Makan Malam 1Barisan Nasional anjuran SUPP Cawangan Sarikei, malam kelmarin.

Majlis yang berlangsung di Dewan Suarah Sarikei dihadiri oleh sekitar 300 orang yang terdiri daripada ahli-ahli SUPP, Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Sarikei.

Sehubungan itu, Ding menasihati agar ahli-ahli dan peringkat akar umbi tidak terpengaruh dengan usaha sesetengah pihak yang mencanangkan dirinya sebagai calon baharu di Parlimen Sarikei bagi pihak SUPP kerana semua itu adalah tidak benar.

“Jangan mengusutkan fikiran dengan masalah yang sedemikian, sebaliknya apa yang lebih penting pada masa sekarang ialah kita harus memikirkan perkara yang membabitkan masa depan kita iaitu bagaimana cara kita hendak membangunkan diri agar terus bergerak ke hadapan dan tidak ketinggalan.

“Manfaatkan setiap peluang yang ada dan gunakan daya kreativiti diri untuk bersaing agar kejayaan terus menjadi milik kita.

“Paling utama ialah agar keharmonian dan keamanan terus seiring dengan perkembangan kemajuan dan pembangunan semasa yang dijalankan,” tegas Ding.