KeTTHA sedia kerjasama Curtin kaji tenaga, teknologi hijau dan air

0

MIRI: Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air sedia menjalin kerjasama dengan Universiti Curtin Sarawak Malaysia (Curtin Sarawak) dalam menjalankan penyelidikan berkaitan tenaga, teknologi hijau dan air.

Menterinya, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berkata, malah sebelum ini kementerian amat menyokong Curtin Sarawak dalam penganjuran persidangan antarabangsa dan aktiviti berkaitan lapangan ini.

“Kementerian berminat menjadi rakan kongsi kepada Curtin Sarawak sekiranya mereka mahu menjalankan apa-apa penyelidikan berkaitan kementerian. Usaha ini sejajar dengan matlamat kita untuk menangani isu pembangunan masa depan secara mapan dan terurus,” katanya berucap merasmikan sambutan Hari Terbuka Curtin Sarawak kali Ke-6 2012 di kampusnya di Senadin semalam.

Katanya, penyelidikan ini dapat membantu usaha kerajaan memelihara alam semula jadi di samping menyeimbangkan pembangunan dan kemajuan tanpa menjejaskan alam sekitar.

Dalam pada itu, Chin berkata Curtin Sarawak berjaya meletakkan diri sebagai sebuah pusat akademik yang cemerlang dengan menawarkan kursus yang setaraf dengan kampus induknya di Perth, Australia.

“Hasil kerjasama dengan pelbagai industri dan perniagaan, Curtin Sarawak diiktiraf oleh kerajaan dan badan bukan profesional dalam dan luar negara. Dalam tempoh yang sama, Curtin Sarawak turut muncul sebagai salah satu daripada lapan universiti yang diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia selain menjadi salah sebuah universiti terbaik daripada 18 universiti di seluruh negara.”

Chin berharap Curtin Sarawak terus membina reputasi antarabangsa bagi menarik lebih ramai pelajar antarabangsa sejajar dengan matlamat Curtin Sarawak untuk menjadi pusat kecemerlangan akademik bertaraf antarabangsa.

Mengenai Hari Terbuka Curtin Sarawak 2012 tahun, Chin berharap ia dapat memberi peluang kepada orang awam untuk mengetahui lebih lanjut mengenai peluang pendidikan di Curtin.

Hadir sama Pengerusi Majlis Curtin Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan Hong Nam, Pengerusi Lembaga Pengurusan Curtin Sarawak, Datuk Lee Kim Shin, Setiausaha Politik kepada Chin, Datuk Sebastian Ting, Datuk Bandar Miri, Lawrence Lai, Pengerusi Curtin Malaysia Sdn Bhd, Datuk Hatta Solhi dan Pro Naib Canselor dan Ketua Eksekutif Curtin Sarawak, Profesor Ian Kerr.

Pada majlis yang sama Chin dan tetamu kehormat yang lain turut menanam pokok bunga.