1,142 unit K1M diagihkan kepada masyarakat Kalaka

0

SARATOK: Sejumlah 1,142 unit Komputer 1Malaysia (K1M) diagihkan kepada masyarakat setempat dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.33 Kalaka, semalam.

Pengagihan meliputi masyarakat yang terdiri daripada ahli-ahli parti komponen Barisan Nasional (BN), ketua masyarakat, ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), ahli badan bukan kerajaan (NGO) serta individu tertentu yang layak serta berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan.

Timbalan Menteri Pengangkutan Jelaing Mersat melalui teks ucapannya yang dibacakan oleh Ahli Majlis Tertinggi Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), Chambai Lindong berkata, kerajaan mengagihkan K1M untuk melahirkan generasi celik komputer dan teknologi maklumat (IT).

“Pada tahun ini, bagi Parlimen Saratok sebanyak 4,400 unit K1M telah dan akan diagihkan secara berperingkat-peringkat sejak awal tahun.

“Keutamaan diberikan kepada pelajar, di mana sejumlah 2,650 unit K1M telah diagihkan kepada para pelajar di kawasan Parlimen Saratok meliputi lima buah sekolah menengah pada pertengahan tahun ini.

“Sementara itu, kita akan mengagihkan sebanyak 608 unit K1M lagi untuk masyarakat dari (DUN) Krian hari ini (semalam),” kata Jelaing.

Majlis adalah anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas N.33 Kalaka dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM).

Menurut Jelaing lagi, kerajaan mengagih K1M bukan sekadar sebagai satu kemudahan kepada rakyat, malah usaha memberikan pendedahan awal kepada masyarakat khususnya dari kawasan luar bandar tentang penggunaan dan kepentingan komputer dalam kehidupan seharian.

“Jika kita lihat pada hari ini kebanyakan urusan adalah bergantung kepada penggunaan komputer. Ini merangkumi urusan pembayaran bil, urusan bank, mendapatkan informasi tertentu serta banyak lagi kemudahan lain.

“Secara dasarnya urusan menggunakan komputer adalah lebih mudah dan menjimatkan masa jika kita bijak dan faham untuk menguruskannya.

“Sungguhpun begitu, dalam banyak kebaikan, ia turut mengandungi kesan negatif, tetapi semua itu bergantung kepada kita dalam menguruskan dan melayari setiap maklumat,” katanya.

Turut hadir Penolong Pengarah SKMM Sarawak Sherry Belayong, Pegawai Tadbir Daerah (SAO) Kecil Roban Laga Kueh, Pegawai JASA N.33 Kalaka Kasim Tomik serta 1,142 penerima K1M.