Wednesday, December 8

GMMF kutuk filem dan karikatur anti-Islam

0

KUALA LUMPUR: Sambil mengutuk filem anti-Islam ‘Innocence of Muslims’ dan penerbitan karikatur dalam sebuah majalah Perancis yang menghina Nabi Muhammad SAW, Yayasan Pergerakan Kesederhanaan Global (GMMF) menggesa golongan sederhana di seluruh dunia untuk bersatu menentang fabrikasi golongan pelampau dari apa jua agama dan kepercayaan demi kesejahteraan manusia sejagat.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Khalek Awang berkata walaupun Charlie Hebdo, tidak melanggar undang-undang Perancis dalam menerbitkan karikatur, GMMF membantah terhadap pengabaian nilai moral dan etika serta sengaja mewujudkan provokasi pada masa yang mencabar ini.

“Tiada sesiapa harus mempertahankannya, apatah lagi dalam konteks kebebasan bersuara kerana hak ini tidak mutlak. Dalam era globalisasi ini, tiada sesiapa boleh membuat sebarang komen yang mencetuskan keganasan seperti yang kita saksikan sejak dua minggu lepas,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, semalam.

Beliau berkata, GMMF mahu umat Islam agar terus tabah menangani isu ini dan harus mengelak daripada melakukan keganasan untuk menunjukkan rasa tidak puas hati.

“Setiap orang mempunyai kewajipan moral dan etika untuk terus wujud secara aman, dan bersama-sama memupuk toleransi dan hormat menghormati antara satu sama lain.

“Ia memang tepat pada masanya untuk golongan sederhana yang membentuk majoriti untuk menuntut hak mereka yang sah,” katanya.

Golongan sederhana dalam semua agama dan kepercayaan mesti menenggelamkan suara-suara pelampau dan menafikan mereka daripada melakukan insiden sebegini, katanya. — Bernama