Lelaki China ditemui mati dalam keadaan tergantung

0

MATI MENGEJUT: Mayat warganegara China dibawa ke HUS untuk bedah siasat.

KUCHING: Seorang lelaki warganegara China ditemui mati dalam keadaan tergantung di tepi tangga sebuah rumah di tapak penyimpanan besi buruk, Batu 12, di sini petang kelmarin.

Mayat mangsa yang dikenali sebagai Zhang Xian Shen, 49, ditemui terjerut dengan tali nilon oleh anak saudaranya ketika balik ke rumah sekitar jam 6 petang setelah selesai bekerja.

Mangsa dikatakan tiba dari China beberapa bulan lepas untuk membantu anak saudaranya menjalankan perniagaan berkenaan dan tinggal di rumah itu bersama dua lagi pekerja warganegara Indonesia.

Mereka seterusnya memaklumkan perkara itu kepada pihak polis.

Bagaimanapun ketika polis tiba, mayat mangsa telah diturunkan oleh kakak mangsa.

Difahamkan, mangsa yang juga ahli perniagaan telah berkahwin dan mempunyai tiga anak.

Punca kejadian tidak diketahui dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.

Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk dibedah siasat.

Dalam kes berasingan, seorang lelaki yang berasal dari Miri terpaksa dikejarkan ke HUS setelah dipercayai cuba membunuh diri dengan meminum racun.

Mangsa yang berusia 58 tahun itu dikatakan baharu tiba di bandar raya ini beberapa minggu lepas untuk mencari kerja.

Dia dikatakan tinggal bersama sepupunya di Taman Everbright, Batu 3.

Sekitar jam 6.45 pagi semalam, sepupunya terjaga setelah terdengar bunyi bising dari bilik mangsa dan ketika diperiksa, mangsa sedang muntah-muntah dan kelihatan botol racun berhampiran.

Mangsa seterusnya cuba menghabiskan racun tersebut namun sempat dihalang sepupunya.