Najib tiba di Brunei untuk hadiri perkahwinan diraja

0

BANDAR SERI BEGAWAN: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di sini bagi menghadiri Majlis Santapan Diraja sempena perkahwinan anakanda Sultan Brunei Darussalam, malam tadi.

Ketibaan beliau di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei pada jam 5 petang semalam disambut Menteri Tenaga Brunei Darussalam Pehin Dato Dr Mohammad Yasmin Umar dan Menteri Luar dan Perdagangan Kedua negara berkenaan Pehin Datuk Lim Jock Seng.

Sejurus tiba di hotel penginapannya, Najib disambut Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei Darussalam Datuk Abdullah Sani Omar dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.

Perdana Menteri dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor menghadiri Majlis Santapan Diraja di Istana Nurul Iman sempena perkahwinan puteri Sultan Brunei Pengiran Anak Puteri Hafizah Sururul Bolkiah dan Pengiran Muhammad Ruzaini yang dijadual jam 8 malam tadi.

Istiadat persandingan mempelai diraja itu berlangsung penuh meriah dan beradat pagi semalam selepas diijab kabul pada Khamis. — Bernama