Pemilik rumah patahkan cubaan ceroboh rumahnya

0

MASUK LOKAP: Suspek berusia 28 tahun dari Kampung Tabuan Hilir diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

KUCHING: Cubaan seorang lelaki dari Tabuan Hilir untuk memasuki rumah atas kedai di RH Plaza, dipercayai untuk mencuri berjaya dihidu dan dipatahkan oleh pemilik rumah berkenaan, pagi semalam.

Menurut pemilik rumah itu ketika ditemui semalam, dia melihat suspek berusia 28 tahun itu naik ke tingkat atas ketika berada di kedai kopi miliknya yang terletak di aras bawah.

Curiga melihat gelagat lelaki tersebut, dia kemudiannya mengekorinya dari belakang dan melihat suspek cuba membuka pintu rumahnya dengan segugus kunci.

“Saya tanya apa dia buat di sini, dia cakap mahu cari kawan tetapi apabila saya cakap itu rumah saya, suspek menggelabah dan memberitahu dirinya mabuk dan mungkin tersalah rumah,” katanya sambil memberitahu kejadian berlaku sekitar jam 9 pagi.

Suspek turut dikatakan cuba melarikan diri tetapi berjaya ditahan oleh peniaga tersebut dan kawan-kawannya yang berada di kedai kopi tersebut.

Ketika disoal, suspek mendakwa dia memperolehi kunci tersebut daripada seorang wanita yang dijumpainya di Travillion.

Peniaga berkenaan kemudiannya menghubungi polis dan seterusnya membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Polis tiba di lokasi untuk membawa suspek ke balai polis dan turut merampas beg suspek yang mengandungi beberapa barang, dipercayai barang curi serta motosikalnya.

Siasatan sedang dijalankan.